
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja maut, manakala dua lagi cedera dipercayai akibat letupan kecil daripada kerja pengimpalan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Yahaya Madis berkata, semua mangsa yang dipercayai warga tempatan itu difahamkan sedang membuat kerja pengimpalan di sebuah tangki dalam kilang memproses produk kelapa sawit berkenaan.
“Letupan sekali itu dipercayai akibat tindak balas api kimpalan dan gas dalam tangki berkenaan.
“Mangsa yang maut itu terjatuh dari tempat kerja pengimpalan itu, iaitu setinggi 15m,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mayat mangsa korban dan pekerja cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat serta rawatan.