
Katanya, arahan itu dikeluarkan berikutan maklum balas orang ramai berhubung arahan penutupan taman awam DBKL Rabu lalu yang tidak selari dengan aktiviti riadah dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Misalnya, aktiviti joging dan berbasikal sendirian dibenarkan. Ke mana (orang ramai) nak pergi jika taman awam ditutup?
“Namun SOP mesti dipatuhi. Kita setuju untuk (taman awam) digunakan oleh orang awam selagi tidak bertentangan dengan SOP Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu tidak boleh (buat) aktiviti secara berkumpulan atau berkelompok,” kata beliau menerusi siaran langsung di Facebook.
DBKL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, berikutan pelaksanaan PKP semua taman awam bawah seliaannya ditutup kepada orang ramai sejak Rabu hingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.
Annuar yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan bagaimanapun berkata, aktiviti penjualan dan perniagaan tidak dibenarkan di taman awam selari dengan garis panduan oleh KKM.
Kata beliau, prosedur operasi standard (SOP), seperti pemeriksaan suhu di laluan masuk dan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, perlu dipatuhi sepanjang aktiviti riadah di taman awam.
“Kawalan ketat (dilaksanakan) berikutan tidak mahu ada kontak rapat,” kata beliau.