
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan semua kedai gunting tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.
“KPM menerusi hasil perbincangan dalam mesyuarat MKN bersetuju walaupun berambut panjang mereka dibenarkan ke sekolah tanpa diambil tindakan oleh guru, kerana masih tak ada kedai gunting rambut beroperasi sepanjang PKP,” katanya dalam sidang media harian Covid-19.
Katanya, kebenaran untuk membuka semula operasi kedai gunting rambut akan dinilai selepas dua minggu oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita tutup dua minggu,selepas dua minggu KKM akan lihat semula sama ada diberi kelonggaran atau sebaliknya. Bersabar dulu,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan pihak kerajaan tidak membenarkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah mewajibkan pelajar melakukan saringan sebelum masuk institusi terbabit bagi tujuan pengajian.
“IPT atau sekolah tidak boleh mengenakan syarat kepada pelajar untuk menjalani ujian calitan sama ada bagi memasuki asrama atau untuk menduduki peperiksaan, kecuali bagi pelajar yang bergejala,” katanya.
Kedai cermin mata dibenar operasi ketika PKP dengan SOP ketat
Selain itu, Ismail mengumumkan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membenarkan kedai cermin mata beroperasi sepanjang PKP selepas mengambil kira rayuan Persatuan Optometri Malaysia (MOA) dengan pematuhan SOP ketat.
“Optometri juga merangkumi perkara berkitan kesihatan. SOP ketat perlu dipatuhi, jika mereka gagal patuh SOP kedai itu akan ditutup semula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail turut memaklumkan, polis semalam menahan menahan 514 individu atas kesalahan ingkar SOP.
“Daripada jumlah itu, 495 telah dikompaun manakala 18 direman dan satu dijamin,” katanya.
Sementara itu katanya, pihak berkuasa menerusi Op Benteng dalam tempoh sama turut menahan 42 pendatang asing tanpa izin dan merampas satu bot serta tiga kenderaan darat.