Ordinan timbul kebimbangan salah guna kuasa

Ordinan timbul kebimbangan salah guna kuasa

Pakar dan Ahli Parlimen berkata, ia sarat dengan undang-undang drakonian, memberikan kuasa meluas kepada cabang eksekutif.

Anggota tentera tidak biasa mengendalikan masyarakat biasa, dan ditakuti mereka akan bertindak ‘berlebihan’.
PETALING JAYA:
Ordinan pertama setelah pengisytiharan darurat diwartakan memberi ruang kepada eksekutif untuk menyalahgunakan kuasa mereka, dan tentera – yang mungkin tidak biasa menangani orang awam – untuk bertindak “berlebihan” ketika menjalankan tugas mereka.

Demikian kata pakar perlembagaan Bastian Pius Vendargon, yang percaya ordinan tersebut sarat dengan undang-undang drakonian, yang memberikan kuasa meluas kepada cabang eksekutif.

Pertama sekali, katanya, ia membenarkan pemilikan sementara hartanah, bangunan atau harta alih dan sumber daya peribadi atas nama pandemik Covid-19.

“Mereka juga boleh mengambil alih kakitangan dan tenaga kerja.

“Ini boleh dilakukan dengan menggunakan penguasaan kuasa secara ‘bona fide’ untuk mengendalikan pandemik dan mengembalikan ekonomi ke landasan, atau penyalahgunaan kuasa.

“Sekiranya penyalahgunaan kuasa itu (atas alasan) politik, apa yang ditakuti adalah (tindakan terhadap) pembangkang yang mempersoalkan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, jika kerajaan ‘menyerang’ pembangkang atau masyarakat sivil kerana mempersoalkan tindakannya, itu bertentangan dengan demokrasi.

Ordinan itu, katanya, juga menyatakan bahawa pampasan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Vendargon menambah bahawa lebih banyak ordinan darurat dapat dikeluarkan dari semasa ke semasa dan “kita masih belum tahu apa yang bakal dirangkuminya, tetapi ia boleh menggantung banyak kebebasan sivil”.

Katanya, kuasa ordinan yang meluas akan menakutkan rakyat tetapi ia tidak akan mempengaruhi mereka yang hanya berfikir untuk mencari rezeki.

“Untuk golongan ini, selagi mereka masih dapat mencari makan, mereka tidak kisah. Tetapi ia akan menakutkan pelabur langsung asing,” tambahnya.

Beliau juga khuatir mengenai angkatan bersenjata yang “akan memiliki semua kuasa seorang pegawai polis dengan mana-mana pangkat, seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah”.

Kata Vendargon, sementara polis sudah biasa menangani orang awam, tentera mungkin tidak dan “mereka boleh (bertindak) berlebihan”.

Ahli Parlimen pembangkang Charles Santiago mempersoalkan kerajaan menggunakan perkataan “pengawasan”.

Menurut ordinan tersebut, Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan arahan rawatan, imunisasi, pengasingan, pemantauan atau pengawasan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Apa yang dimaksudkan dengan pengawasan? Adakah ia termasuk intipan perbualan telefon?

“Berkenaan rawatan dan pengasingan, ia boleh difahami kerana doktor perlu mengamati pesakit. Tetapi, bagaimana kita hendak mendefinisikan perkataan ‘pengawasan’ dalam (situasi) darurat? Ini membataskan kebebasan manusia,” kata Ahli Parlimen DAP Klang itu kepada FMT.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, ordinan darurat dengan jelas menyatakan bahawa kewujudannya perlu dalam usaha membendung peningkatan jangkitan Covid-19.

“Pada hakikatnya, ini bermaksud ia ada sebagai tambahan dan untuk menyokong perintah kawalan pergerakan (PKP). Oleh itu jika PKP ditamatkan, maka ordinan darurat juga harus ditamatkan.

“Saya harap apabila PKP tamat pada Februari atau Mac, darurat akan berakhir,” kata ahli parlimen PKR itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.