
Kadir berkata, Putrajaya boleh menukar hospital dan berek tentera sebagai tempat rawatan pesakit Covid-19 atau membuka kemudahan tentera kepada orang awam bagi membolehkan mereka menerima rawatan perubatan biasa.
“Bukankah darurat bertujuan memberi kuasa dan kemudahan kepada kerajaan mengawal wabak ini dengan lebih cepat dan berkesan tanpa halangan dan gangguan?
“Boleh jadi benar sistem kesihatan awam terbeban. Tetapi bukankah kerajaan mempunyai kemudahan kesihatan sampingan seperti kor perubatan tentera yang boleh digerakkan untuk tugas sivil?,” katanya di Facebook.
Beliau memetik laporan FMT yang mendedahkan seorang pesakit disahkan positif Covid-19 pada 6 Jan lalu dan sejak itu lima anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya turut disahkan positif.
Namun, mereka masih tertunggu-tunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini mengisytiharkan darurat untuk tujuan membendung penularan wabak Covid-19 hingga 1 Ogos depan atau lebih awal, memandangkan kes harian kini mencecah empat angka.
Pada 10 Jan, media melaporkan kerajaan Melaka akan menghantar pesakit positif Covid-19 di negeri itu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor memandangkan Hospital Melaka tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.
Kadir berkata, sekiranya wujud keadaan kurang kenderaan seperti ambulans, Putrajaya juga boleh melakukan pengambilan sementara aset perubatan swasta dan persendirian.
Beliau berkata, tujuan darurat diperkenalkan adalah untuk memudah dan mempercepatkan tindakan menghapuskan Covid-19.
“Sebaliknya kalau masalah yang sama terus berlaku dan keupayaan memerangi wabak ini tidak bertambah baik, jangan salahkan rakyat jelata jika mereka membuat kesimpulan bahawa darurat ini adalah untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional semata-mata,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas darurat berkata, tentera juga akan diperuntukkan kuasa bagi membantu melaksanakan fungsi berkaitan kesihatan awam dan pegawai awam berkaitan semasa pandemik.
Muhyiddin berkata, perisytiharan darurat bukan suatu bentuk rampasan kuasa, sebaliknya aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun katanya, perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan lain dikuatkuasakan susulan kes Covid-19 semakin meningkat.