Kekeringan dana, impian gadis Ipoh jadi doktor terancam

Kekeringan dana, impian gadis Ipoh jadi doktor terancam

Seorang pelajar tahun akhir perubatan bimbang cita-citanya akan berakhir sebelum waktunya.

Kirroshnie membantu bapanya yang tidak lagi mampu bekerja akibat serangan strok.
PETALING JAYA:
Satu tahun sahaja lagi sebelum Kirroshnie, 26, mendapat ijazah perubatannya, tetapi masalah kewangan yang dihadapi mungkin akan membantutkan cita-citanya itu.

Dana keluarganya sudah mulai kering dan dia sedang berusaha mengumpulkan wang dengan segera agar dapat meneruskan pengajiannya.

Perbelanjaan Kirroshnie ketika memulakan pengajiannya pada 2017 ditampung oleh bapanya, seorang wakil perubatan farmasi yang menghantar ubat dari klinik ke klinik, namun beliau tidak lagi bekerja setelah diserang strok pada tahun itu.

Serangan strok menyebabkan bapa Kirroshnie terlantar sementara dan menjejaskan kemampuan fizikal dan mentalnya secara kekal.

“Beliau tidak dapat lagi memandu lagi dan menghadapi masalah berjalan,” kata Kirroshnie kepada FMT di rumah keluarganya di Ipoh.

“Sejak (mengalami) strok, keadaan mentalnya benar-benar merosot. Beliau juga menghidap epilepsi dan berisiko mengalami sawan.”

Ibunya mengambil alih tanggungjawab menyara keluara dengan menjual buku di sekolah. Namun, pandemic Covid-19 dan sekatan pergerakan membantutkan usahanya.

Keluarga itu sekarang terpaksa bergantung pada elaun kecacatan bapanya sebanyak kira-kira RM1,000 sebulan, wang simpanan dan pinjaman.

Kirroshnie masih meneruskan pengajian, tetapi ketinggalan dalam membayar yuran pengajian sebanyak RM30,000. Beliau bimbang kemungkinan terpaksa berhenti belajar jika tidak dapat membayar tunggakan yuran terbabit.

Ini ditambah dengan beban RM45,000 untuk yuran tahun ini yang perlu dijelaskan.

 

Setakat ini, Kirroshnie masih bergelar pelajar dengan bergantung pada pinjaman, tetapi wang itu semakin berkurang.

Selain itu, dia juga memerlukan dana untuk kos penginapannya di Sarawak, yang menempatkan fakulti perubatannya.

“Jika saya dapat menamatkan pengajian dan menjadi doktor, saya dan keluarga boleh menarik nafas lega.

“Dalam tempoh ‘housemanship’, gaji saya beserta elaun mencecah RM4,000, jadi bolehlah saya menyara keluarga.

“Saya telah berusaha mendapatkan beberapa penaja, dan ada di antara mereka telah berbincang dengan pihak universiti, tetapi (usaha itu) tidak berjaya. Saya dah tiada pilihan,” kata gadis itu.

Ini bukan kali pertama masalah kewangan hampir menjejaskan pengajian Kirroshnie.

Pada 2019, dia menunda pengajian selama tiga bulan untuk mencari dana dan bekerja dengan SEGi University bagi membolehkannya merangka plan pembayaran yang dimampui.

Ketika itu, dia berjaya menyambung pengajian setelah membayar sebahagian daripada tunggakan yuran tersebut.

Nasibnya kali ini mungkin tidak sebaik itu.

Bagi mereka yang ingin membantu Kirroshnie, sila WhatsApp kami di Talian Bantuan FMT di 019-389 9839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.