
Banjir menjejaskan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan terbaharu di Sarawak.
Susulan itu, sejak Isnin lepas institusi kewangan seperti Affin Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, Malayan Bank Bhd, Bank Simpanan Nasional Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Hong Leong Bank Bhd, SME Bank Bhd dan OCBC Bank Bhd menawarkan bantuan bagi pelanggan masing-masing.
Ini termasuk kelonggaran pembayaran balik pinjaman/pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan, selain membenarkan penangguhan ansuran pinjaman dan pengecualian caj bayaran lewat.
Affin Bank, CIMB, Hong Leong dan OCBC pula menderma sejumlah RM1.1 juta kepada agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, perisytiharan darurat bagi membendung penularan wabak Covid-19 pada Selasa lepas turut mendorong Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang Kredit, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia, turut tampil menawarkan bantuan.
PIAM misalnya memberi jaminan kepada mangsa banjir yang mempunyai perlindungan insurans banjir bahawa ahlinya bersedia mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian akibat bencana tersebut.