PKP di Sibu selepas lonjakan kes Covid-19

PKP di Sibu selepas lonjakan kes Covid-19

SOP berhubung PKP itu akan diumumkan esok.

PKP di daerah Sibu akan berkuat kuasa 16 hingga 29 Jan ini.
KUCHING:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu di daerah Sibu bagi membendung penularan Covid-19.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan berkata, PKP yang akan berkuat kuasa 16 hingga 29 Jan ini meliputi daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.

SOP berhubung PKP itu akan diumumkan esok.

“Keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 di Sibu, dengan jumlah 439 kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu, termasuk 150 kes hari ini.

“Daripada 150 kes yang dilaporkan di Sibu hari ini, 148 kes dikaitkan dengan kluster Pasai.”

Kluster itu berpunca daripada pengebumian di sebuah rumah panjang di Sibu, yang dihadiri seorang wanita (kes indeks) pulang dari Johor pada 29 Dis lalu.

Jawatankuasa itu turut dipetik Bernama sebagai berkata, semua individu dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang mahu ke Sarawak perlu menjalani ujian RT-PCR tiga hari sebelum memasuki negeri itu.

“Keputusan ujian mestilah negatif dan perlu dilampirkan dalam permohonan enterSarawak. Arahan ini berkuat kuasa 16 Jan,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, Sarawak merekodkan tiga angka kes baru untuk hari keempat berturut-turut, dengan 180 kes dilaporkan, jumlah kes harian tertinggi setakat ini.

Ini menjadikan keseluruhan 1,920 kes Covid-19 dicatatkan di Sarawak sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.