Darurat satu rahmat terselindung untuk pelabur?

Darurat satu rahmat terselindung untuk pelabur?

Keadaan darurat akan akibatkan kestabilan politik, kurangkan ketakpastian dan tingkatkan keyakinan pelabur, kata penganalisis pasaran.

Penganalisis pasaran Danny Wong berkata darurat kurangkan ketidakpastian untuk pelabur.
PETALING JAYA:
Bursa Malaysia merudum sebaik pengisytiharan darurat pagi semalam, namun beransur stabil pada petang selepas kerajaan memberi jaminan perniagaan diteruskan seperti biasa.

Kini seorang penganalisis pasaran mencadangkan pengisytihran darurat itu mungkin sesuatu yang positif untuk pasaran, malah sekurang-kurangnya menghapuskan persoalan sama ada kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat.

Susulan itu, ini akan membawa kepada kestabilan politik seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur, kata penganalisis Danny Wong, CEO Areca Capital Sdn Bhd.

“Kesan pengisytiharan itu terhadap pasaran mungkin isu sentimen jangka pendek,” katanya.

Beliau merujuk kepada pasaran saham merudum bawah paras 1,600, dengan 940 kaunter merah menyusul pengisytiharan darurat itu.

Pada jam 11, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 25.34 mata kepada 1591.91.

Indeks dibuka 1.41 markah lebih rendah pada 1,615.84 berbanding ditutup 1,617.25 sehari sebelumnya.

“Ada pandangan berbeza terhadap darurat. Saya menganggap untuk tempoh ini, sekurang-kurangnya (sehingga darurat tamat pada 1 Ogos) kita tidak akan bertukar kerajaan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah mengisytiharkan darurat untuk membendung wabak Covid-19.

Sultan Abdullah memperkenan darurat sehingga 1 Ogos atau tamat lebih awal jika kes Covid-19 berjaya dikurangkan dan distabilkan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam utusan khas berkata tiada persidangan Parlimen atau dewan undangan negeri sehingga tarikh yang akan ditetapkan Agong, manakala pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil akan ditangguhkan ketika tempoh darurat.

Beliau menambah, pilihan raya umum (PRU) ke-15 hanya akan diadakan sebaik jawatankuasa bebas darurat menentukan ancaman Covid-19 telah diatasi dan pilihan raya selamat untuk diadakan.

Wong berkata, ini akan memberi lebih keyakinan untuk pelabur. “Pelabur tidak begitu rasional – mereka mencampurkan politik dengan pelaburan, yang membawa kepada penjualan panik.

Menurutnya, beliau tidak menjangka prestasi sama dengan enam bulan pertama selepas perintah kawalan pergerakan pertama, kerana ketika itu saham murah.

“Sekarang pasaran sudah pulih, jadi ia tidak semurah sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pelabur juga rasa lebih yakin, dengan mengharapkan imuniti kelompok hasil vaksinasi yang akan mula diberikan sekitar Februari atau Mac.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Profesor Adjung Universiti Perdana Mohd Yusof Kasim pula meramalkan, pasaran saham di dalam negara akan terjejas akibat pengumuman darurat dan pelaksanaan PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.