8 lagi jemaah tabligh pulang selepas mahkamah India batal tuduhan

8 lagi jemaah tabligh pulang selepas mahkamah India batal tuduhan

Kini hanya tinggal seorang jemaah tabligh Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kesnya di Kishanganj, India.

Sebahagian daripada 62 jemaah tabligh yang tiba di KLIA pada 18 Julai 2020. Lapan lagi jemaah tabligh Malaysia pulang ke tanah air hari ini, selepas Mahkamah Tinggi Patna membatalkan tuduhan menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Lapan jemaah tabligh Malaysia kembali dari New Delhi, India selepas Mahkamah Tinggi Patna, Bihar membatalkan pertuduhan menyalahgunakan pas lawatan sosial terhadap mereka.

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar dalam kenyataan memaklumkan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.58 petang tadi.

Beliau berkata, kini hanya tinggal seorang lagi jemaah tabligh Malaysia yang masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kesnya di Kishanganj, India.

“Kementerian Luar menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang jemaah tabligh tersebut, selepas pembebasan beliau kelak.”

Kamarudin, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, berkata selaras peraturan semasa, semua jemaah tabligh yang dibawa pulang ke tanah air akan dikuarantin 10 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

Katanya, Kementerian Luar berjaya membawa pulang 188 daripada 189 jemaah tabligh yang berada di India setakat ini.

Sebelum ini, katanya, 180 jemaah tabligh Malaysia dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) pada tahun lalu.

Kementerian Luar turut merakam penghargaan serta mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan terbabit, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan atas kerjasama serta komitmen berterusan dalam menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India yang terus membantu urusan kepulangan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.