
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 1,469 pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 110,584 kes sembuh daripada 141,533 kes Covid-19 setakat ini.
Katanya, terdapat 30,390 kes aktif di seluruh negara, dengan 83 daripada 190 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Sebanyak 3,303 kes penularan tempatan dan baki enam kes import direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Hisham berkata, Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi, iaitu 1,007 kes.
“Daripada jumlah ini, 825 kes (81.9%) daripada kluster aktif dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.
Ia disusuli Johor dengan 442 kes, Sabah (409), Kuala Lumpur (326), Pulau Pinang (317), Perak (241), Sarawak (146), Pahang (96), Kelantan (86), Negeri Sembilan (85), Kedah (62), Putrajaya (36), Melaka (21), Terengganu (20) dan Labuan (15).
Katanya, empat kematian dicatatkan hari ini, menjadikan keseluruhan 559 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19.
“Tiga kes dilaporkan di Selangor dan satu kes di Perak berumur 52 hingga 69 tahun, semua membabitkan warganegara.”