
Katanya, pelajar antarabangsa, kecuali dari United Kingdom, dibenarkan memasuki kampus sejak 1 Jan lalu dan pelajar tempatan seawal 1 Mac ini.
“Semua pelajar yang berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid.
“Bagi pelajar lain, pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan dengan pembelajaran dalam talian sehingga tamat PKP,” katanya dalam kenyataan.
PKP selama dua minggu akan mula dilaksanakan Rabu ini di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.
PKP bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKP pemulihan di Perlis serta Sarawak.
Kementerian Pengajian Tinggi berkata, peperiksaan antarabangsa dan badan profesional dibenarkan dijalankan dalam kampus.
Katanya, pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses internet dan seumpamanya turut dibenarkan.
“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa.
“Semua aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal dibenarkan melalui kebenaran ketua jabatan mengikut SOP ketat.”
Katanya, pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus daripada IPT masing-masing.
Pelaksanaan aktiviti akademik di kampus perlu dijalankan dengan mematuhi SOP sepenuhnya dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baru seperti sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta penjarakan fizikal.
“Pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6124, laman web IPT atau menghubungi IPT masing-masing.”