
Pegawai polis, Koh Fei Cheow yang merupakan saksi ke-15, berkata Azilah membawa polis ke lokasi jenayah, selepas dia memberikan maklumat secara sukarela ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 6 Nov 2006.
Koh, yang memberi keterangan dalam saman sivil difailkan keluarga Altantuya, ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Berat, berkata beliau dan tiga anggota polis berpangkat rendah mengiringi Azilah ke Puncak Alam.
“Kami membawanya ke tempat itu untuk menentukan lokasi sebenar jenayah yang digambarkannya,” kata Koh ketika disoal peguam Harshaan Zamani.
Koh berkata, beliau dan pasukannya terpaksa berhenti beberapa kali dalam perjalanan ke sana kerana Azilah tidak pasti lokasi sebenar.
Katanya, mereka akhirnya tiba di tempat itu kira-kira 6.50 petang.
Mereka kemudian berhenti di sebuah kawasan lapang dan Azilah dibenarkan memerhati kawasan itu sebelum membawa mereka ke lokasi jenayah.
“Inilah tempat perempuan Mongolia itu diletupkan,” Koh memetik kata-kata Azilah, dalam keterangannya di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera.
Koh berkata, beliau kemudian memeriksa lokasi itu dan menemui serpihan tulang yang dipercayai manusia.
“Saya juga ternampak kesan terbakar dan pokok layu.”
Beliau berkata, Azilah kemudian membawa mereka ke kawasan lapang lain kira-kira 30 kaki dari lokasi mayat Altantuya diletupkan.
Katanya, Azilah memberitahunya: “Inilah tempat perempuan Mongolia itu ditembak.”
Semalam, mahkamah diberitahu seorang lagi anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang juga didapati bersalah membunuh Altantuya, mengaku dia menembak wanita itu dan menunjukkan lokasi mayatnya diletupkan kepada seorang anggota polis.
Anggota polis, Zulkarnain Samsudin dilaporkan berkata, Sirul mendedahkan lokasi itu ketika diiringi ke lokasi pembunuhan di Puncak Alam pada 11 Nov 2006.
Bapa Altantuya, Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, menamakan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, kerajaan, Sirul dan Azilah sebagai defendan dalam saman itu.
Keluarga itu, yang mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya, menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk tuntutan tanggungan.
Altantuya, 28, seorang jurubahasa, dibunuh antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 11 pagi keesokannya dalam hutan Puncak Alam. Beliau ditembak di kepala sebelum mayatnya dibom dengan bahan letupan.
Razak, bekas pembantu Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu, tetapi dibebaskan pada akhir kes pendakwaan.
Sirul dan Azilah, yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), disabitkan bersalah membunuh Altantuya oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir diumumkan.
Sirul, yang ditahan di sebuah pusat tahanan Australia, atau Azilah, yang sedang menjalani hukuman mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.
Perbicaraan bersambung 27 Jan ini.