
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, G Ramanan, 34, dan Lisrullah Ali, 33, dari Balai Polis Machap Baharu turut dilemparkan kata-kata kesat oleh kumpulan penyerang terbabit dalam pergaduhan kira-kira 8.10 malam.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua anggota yang memakai rompi polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima aduan orang awam berhubung kekecohan yang berlaku serta memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Ketika meleraikan pergaduhan itu, sekumpulan penduduk kampung menyerang serta menampar anggota berkenaan, selain menghalang mereka menjalankan tugas.
“Kumpulan tersebut juga memulakan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua-dua anggota berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, Ramanan ditumbuk di bahagian muka sebelum terjatuh dan ditendang berkali-kali, termasuk di muka oleh kira-kira tujuh individu sehingga menyebabkan mangsa pening dan cedera di hidung, bibir serta tangan kanan.
Katanya, tindakan Lisrullah yang cuba meleraikan rusuhan itu juga tidak diendahkan kumpulan penduduk kampung berkenaan.
Arshad berkata, susulan kejadian itu, lima lelaki berumur 20 hingga 59 tahun ditahan di sekitar Machap Baharu antara 10 malam hingga 12 tengah malam hari sama.
Katanya, lima suspek itu direman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan melakukan ugutan jenayah terhadap penjawat awam serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.