PKPB 2 minggu di Kuching, 5 daerah lain di Sarawak mulai 13 Jan

PKPB 2 minggu di Kuching, 5 daerah lain di Sarawak mulai 13 Jan

Pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan, kecuali dengan kebenaran polis.

PKPB akan dilaksanakan di Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Sarikei dan Miri sehingga 26 Jan ini.
KUCHING:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak meletakkan enam daerah di negeri itu di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dari 13 hingga 26 Jan ini, selepas mencatatkan 153 kes baru Covid-19 hari ini.

Pengerusi JPBN Sarawak, Amar Douglas Uggah Embas berkata, penguatkuasaan PKPB itu akan dilaksanakan di daerah Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Sarikei dan Miri.

“Memandangkan kes positif Covid-19 di Kuching, Sibu dan Miri kian meningkat setiap hari, maka keputusan berkenaan terpaksa dibuat, setelah menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Sarawak, iaitu 209 kes dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya pada sidang media harian Covid-19.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, susulan penguatkuasaan itu, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan, kecuali dengan kebenaran polis.

“Pergerakan rentas zon di dalam negeri juga tidak dibenarkan, melainkan mendapat kebenaran (permit polis),” katanya sambil menjelaskan zon Kuching terdiri daripada Samarahan dan Serian, zon Sibu (Sibu dan Sarikei) serta zon Miri.

Sementara itu, Uggah berkata, hari ini terdapat pertambahan satu lagi kluster baru, iaitu Jelita melibatkan daerah Miri.

“Kes indeks kluster ini ialah empat rakan perniagaan yang datang ke Miri dari Melaka dan Pahang, yang dikesan positif Covid-19 pada 31 Dis 2020,” katanya.

Sehingga hari ini, terdapat enam kluster yang masih aktif di Sarawak, iaitu Pasai (Sibu), Keranji Tabuan (Kuching), Bah Sayap (Miri), Stutong (Kuching, Serian dan Lundu), Mador (Meradong dan Sibu) dan Jelita (Miri).

Sementara itu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) juga mengumumkan PKP pemulihan (PKPP) akan dilaksanakan di seluruh Sarawak dalam tempoh sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.