Penganalisis: Gabungan Sarawak perlu belajar daripada kekalahan Warisan

Penganalisis: Gabungan Sarawak perlu belajar daripada kekalahan Warisan

Penganalisis politik berkata, GPS perlu berhenti berslogan dan bertindak mengurus ekonomi serta pembangunan negeri.

Penganalisis berkata, slogan tidak membantu Warisan memenangi pilihan raya negeri lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gabungan kerajaan di Sarawak, GPS, digesa belajar daripada kekalahan Warisan, bekas kerajaan di Sabah, dengan memberi perhatian kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan luar bandar, bukannya sekadar “berslogan”.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, Arnold Puyok, dan pengarah Bait Al Amanah, Shahrill Sabarudin, berkata, Warisan memilih untuk mempromosikan slogan seperti “Sabahans Unite Not Divide” (Orang Sabah Bersatu Bukan Berpecah), “In God We Trust” (Percaya kepada Tuhan) dan “Unite We Must” (Kita Harus Bersatu) semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun lalu.

Memetik dua tinjauan pendapat di negeri ini yang dijalankan oleh Pemerkasaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS), sebuah badan pemikir yang diketuai Puyok, mereka berkata, terdapat juga papan iklan yang memaparkan petikan kata-kata terkenal Shafie Apdal: “We are here to build a nation, not a particular race or religion” (Kami di sini untuk membangun sebuah negara, bukan bangsa atau agama tertentu).

“Mesej itu disertakan dengan potret Shafie Apdal ala Che Guevara – pemimpin revolusi Cuba.”

Arnold Puyok.

Mereka berkata, walaupun mesej kempen diterima dengan baik oleh pengundi, ia bagaimanapun tidak diterjemahkan kepada undi.

“Rakyat lebih mengutamakan kelangsungan ekonomi dan pembangunan infrastruktur.”

Kata mereka lagi, pemimpin Sarawak daripada GPS patut mengambil tindakan dan menghasilkan sesuatu yang nyata, bukan sekadar berslogan.

Sarawak akan menghadapi pilihan raya negeri selewat-lewatnya pada Ogos 2021, setelah penggal lima tahun DUN berakhir pada bulan Jun.

“Cabaran bagi GPS adalah untuk mempertahankan sokongan di kawasan masyarakat Dayak yang menyasikan Parti Sarawak Bersatu dilihat semakin mendapat tempat.

“Seperti pada pilihan raya sebelumnya, GPS memiliki kelebihan jawatan, tetapi mood rakyat boleh berubah pada saat-saat akhir, seperti yang berlaku di Sabah,” tambah mereka.

Shahrill Sabarudin.

Mereka berkata kerajaan negeri harus memiliki jalan penyelesaian yang praktikal untuk golongan yang kehilangan pendapatan dan juga perusahaan kecil yang terjejas disebabkan wabak, selain mengambil langkah jangka pendek dan panjang untuk memulihkan ekonomi.

Tambah mereka, pembangunan infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya dan kemudahan asas lain juga penting, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Ketika musim berkempen sewaktu pilihan raya Sabah, kami terjumpa sepanduk yang tertulis kata-kata: ‘Ada aspal/jambatan, ada undi’,” kata mereka, memetik pemerhatian semasa melakukan penyelidikan di Sabah.

“Mesej seperti itu kepada ahli politik tidaklah unik di kawasan luar bandar. Ia mengingatkan mereka bahawa rakyat bersedia memperdagangkan sokongan politik untuk pembangunan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.