Muhyiddin dijangka pengerusikan mesyuarat sulung PN Johor esok

Muhyiddin dijangka pengerusikan mesyuarat sulung PN Johor esok

Mesyuarat itu bakal menjadi pencetus kepada gerak kerja besar-besaran di seluruh negara yang akan tertumpu kepada usaha membantu memulihkan kembali kehidupan rakyat terjejas teruk akibat Covid-19.

Menerusi mesyuarat pertama Badan Perhubungan Negeri (BPN) Johor itu, Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan pengerusi BPN PN Johor, dijangka mengumumkan pembentukan struktur PN peringkat negeri. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka mempengerusikan mesyuarat sulung Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya, esok.

Mesyuarat itu bakal menjadi pencetus kepada gerak kerja besar-besaran di seluruh negara yang akan tertumpu kepada usaha membantu memulihkan kembali kehidupan rakyat terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurut jurucakap PN Johor, menerusi mesyuarat pertama BPN Johor itu, Muhyiddin yang juga pengerusi PN dan pengerusi BPN PN Johor, dijangka mengumumkan pembentukan struktur PN peringkat negeri.

“Mesyuarat juga akan merangka, menyenarai dan menyelaraskan segala program dan aktiviti parti di peringkat negeri menerusi pelantikan jawatankuasa penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri PN,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, pembentukan struktur gabungan yang terdiri daripada PPBM dan PAS serta program dan aktiviti yang dirancang, dijangka menjadi model kepada PN di negeri lain khususnya dalam mengendalikan program di negeri masing-masing.

“Sebagai sebuah gabungan parti politik baharu yang menerajui kerajaan pusat, segala program akan memberi fokus kepada usaha membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara parti dan kedudukan PN sebagai parti pemerintah,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata perincian mesyuarat itu sedang dibincangkan oleh wakilnya dan wakil PPBM.

“Dalam mesyuarat itu, kita akan bentuk jawatankuasa bersama dan akan ada lantikan timbalan pengerusi, setiausaha dan ahli-ahli jawatankuasa.

“Mesyuarat ini penting kerana kita cuba menyesuaikan diri antara kedua pihak (PPBM dan PAS). Macam salam perkenalan dan memperbincangkan strategi sesuai untuk Johor,” katanya.

Abdullah berkata, menerusi mesyuarat itu pendekatan dan strategi yang bersesuaian dengan kedua-dua parti akan dicari supaya ia sesuai dengan suasana politik Johor.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga dijangka dihadiri lima pemimpin tertinggi PAS Johor termasuk dirinya dan lima daripada PPBM Johor termasuk Muhyiddin, yang juga pemangku pengerusi dan presiden PPBM.

Ketika ditanya sama ada Umno akan turut serta dalam mesyuarat itu, Abdullah berkata: “Umno tidak terlibat, tetapi PAS tetap akan meneruskan Muafakat Nasional (MN) dengan Umno.

“Dengan PPBM, hubungan kita melalui PN, dengan Umno MN. Hubungan kita dengan Umno pun masih baik,” kata Abdullah.

Pada 5 Jan lepas, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin menerusi kenyataan di Facebook beliau mengumumkan pelantikan seramai 14 Pengerusi BPN PN termasuk Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.