
Jonathan Chai, presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, berkata Sarawak juga mengalami lonjakan kes Covid-19 dalam beberapa hari ini, oleh itu belum selamat untuk kanak-kanak kembali ke sekolah.
“Saya setuju dengan bekas perdana menteri yang berkata sekolah hanya patut dibuka semula selepas Tahun Baru Cina, yang jatuh pada 12 Feb,” katanya kepada FMT.
“Saya menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa mengenai kemungkinan pembukaan semula sekolah ditangguhkan. Nampaknya ramai ibu bapa yang bimbang dengan keselamatan anak mereka untuk kembali ke sekolah dalam keadaan yang semakin buruk.”
Chai berkata, sekolah boleh menggunakan cuti penggal pertama pada Mac dan cuti pertengahan tahun pada Mei untuk menggantikan hari persekolahan itu.
Sebagai alternatif, katanya, sekolah boleh melakukan pendaftaran atau kemasukan pelajar untuk tahun akademik baru secara berkumpulan dalam dua minggu akan datangdan memulakan kelas melalui pengajaran dalam talian, jika keadaan tidak bertambah baik.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Adam Prakash Abdullah berkata, sekolah di zon merah harus meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam talian demi keselamatan guru, pelajar serta keluarga mereka.
“Walaupun guru telah membuat persiapan dan bersedia untuk pembukaan tahun akademik baru, kami bimbang dengan lonjakan kes Covid-19 di Sarawak baru-baru ini.
“Kami juga menggesa semua guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara efektif dalam semua keadaan,” katanya.
Sabtu lalu, Sarawak melaporkan 55 kes baru Covid-19, tertinggi dalam sehari untuk negeri itu setakat ini.