Kabinet perlu batal program selepas Rina, Mustapa positif Covid-19, kata Najib

Kabinet perlu batal program selepas Rina, Mustapa positif Covid-19, kata Najib

KKM sepatutnya mengklasifikasikan anggota Kabinet sebagai kontak rapat yang perlu dipantau dan diberi arahan kuarantin wajib.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, anggota Kabinet perlu membatalkan semua program umum selepas seorang lagi menteri disahkan positif Covid-19 hari ini.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan semua program mereka untuk tempoh seminggu, susulan terdapat menteri disahkan positif Covid-19.

Najib berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya mengklasifikasikan anggota Kabinet lain sebagai kontak rapat yang perlu dipantau dan diberi arahan kuarantin wajib.

Ini kerana mereka pernah hadir sebilik dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dalam mesyuarat Jemaah Menteri beberapa hari lalu.

“Peliknya kenapa menteri Kabinet masih menghadiri program umum setelah Mustapa disahkan positif tengah hari semalam.

“Kenapa pula Rina masih boleh hadir dua program semalam?” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun disahkan positif Covid-19 selepas memperoleh keputusan ujian saringan malam tadi.

Rina dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada 11 pagi tadi.

Kelmarin, Mustapa disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur.

Beliau dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk pemantauan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sebelum ini, beberapa anggota tertinggi pentadbiran kerajaan turut disahkan dijangkiti Covid-19, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.