
Ketika beliau sedang sibuk membantu memindahkan mangsa banjir sejak awal pagi, pada kira-kira 7.30 petang itu, Mohd Zailani menerima maklumat bahawa lokasi rumah yang didiami bersama isteri dan tiga orang anaknya di Bandar Baru Bukit Mentok di sini, turut dilanda banjir.
Dalam keadaan itu, beliau akhirnya memilih untuk terus membantu orang awam dan hanya menghubungi isterinya menerusi telefon, supaya berpindah ke tempat selamat tanpa perlu menunggu beliau pulang.
Pengorbanan Mohd Zailani tidak terhenti di situ, kerana beliau perlu terus bergegas membawa keluar mangsa daripada beberapa kampung sekitar ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan selamat, yang adakala perlu dilakukan dengan mengendong, memangku, malah mengusung mereka yang tidak berdaya.
“Memang sukar untuk buat keputusan, tetapi agak bertuah kerana keluarga amat memahami kerja saya. Mereka juga akan berkemas sendiri dan tahu ke mana hendak dituju. Sebenarnya sudah beberapa hari saya tak tidur di rumah, hanya berjumpa keluarga sekejap sahaja kalau berpeluang. Baju saya pun semua ada di balai.
“Mungkin ramai tidak tahu bahawa sesetengah anggota bomba yang terlibat bencana banjir ini, tidak menerima bantuan daripada kerajaan seperti mana orang lain, kerana kami ada kalanya tidak sempat mendaftar di PPS.
Kebanyakan keluarga akan menumpang rumah saudara terdekat atau menginap di hotel bajet berdekatan balai, namun syukur sebab bomba mempunyai wang kebajikan sendiri,” katanya yang telah berkhidmat selama 10 tahun.
Pada hari tersebut, tugas Mohd Zailani bukan lapan jam tetapi ia bagai tiada penghujung dan pada pukul 10 malam, beliau bersama Ketua Zon 2 JPBM Terengganu Azman Alias, menjalankan operasi mereka di kawasan sekitar Bukit Mentok yang terjejas teruk.
Rondaan bermula 10 malam (6 Jan) daripada bandar Chukai hingga ke kawasan sekitar Bukit Mentok sehingga awal pagi (7 Jan) dan apabila menerima panggilan kira-kira 1.20 pagi, anggota bomba terus bergegas ke Kampung Pengkalan Pandan yang terletak tidak jauh dari situ, namun ekoran keadaan gelap dan air yang bertakung, perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit.
Di situ Mohd Zailani, Azman dan anggota lain, menyelamatkan lima kanak-kanak bersama seorang wanita setelah air berada pada paras pinggang dan mula masuk ke dalam rumah. Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke PPS Sekolah Kebangsaan Chukai.
Rondaan tidak terhenti di situ, sebaliknya mereka bergegas pula ke Kampung Tempurung setelah dimaklumkan ada warga emas yang perlu dibawa keluar ke PPS, namun setelah bergerak kira-kira 10 minit ke lokasi, mereka menerima panggilan bahawa pihak Angkatan Pertahanan Awam, telah sampai ke tempat itu bagi menyelamatkan mangsa.
Tepat pukul 3 pagi, Mohd Zailani menerima panggilan kecemasan untuk ke Kampung Tempurung semula, bagi membantu menyelamatkan enam ahli keluarga termasuk seorang bayi berusia 34 hari dan warga emas yang mengalami cacat penglihatan serta tidak mampu berjalan.
Sampai di kampung tersebut, Mohd Zailani, Azman dan anggota bomba lain terpaksa mengharungi air paras pinggang selama beberapa minit, untuk ke rumah keluarga terbabit bagi membawa keluar mangsa dan barangan penting.
Azman berkata ramai anggota bomba sanggup berkorban, apabila tiba bencana dan mereka akan ‘menginap’ di balai, tidak akan bercuti serta tidur di atas kerusi jentera penyelamat sahaja.
“Kadang kala saya terfikir, mereka ini (anggota bomba) adalah insan terpilih, sebab mereka tidak kisah dihargai atau tidak. Yang ingin dilakukan cuma menjaga kebajikan orang lain, mungkin perasaan itu sudah sebati dalam diri mereka.
“Saya yakin jika tidak kerana keikhlasan dan kesabaran, mereka tidak akan dapat bekerja seperti ini terutama dalam melayan karenah orang ramai, terpaksa meninggalkan keluarga dan melakukan kerja melebihi daripada gaji yang dibayar,” katanya.