Tentera sedia bina hospital medan tampung pesakit Covid-19

Tentera sedia bina hospital medan tampung pesakit Covid-19

Angkatan Tentera Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menentukan keupayaan hospital medan dapat membantu dan menampung keperluan semasa.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Affendi Buang berkata, ketika ini hospital medan terbesar ialah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang berkapasiti 10,000 katil.
KUALA LUMPUR:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia mewujudkan hospital medan bagi pesakit Covid-19 sekiranya ada keperluan.

Panglima ATM Affendi Buang berkata, ketika ini hospital medan terbesar ialah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang berkapasiti 10,000 katil.

“Berkemungkinan besar Kementerian Kesihatan (KKM) akan tambah lagi (hospital medan) jika peningkatan kes berterusan dan kapasiti di MAEPS tidak dapat tampung (pesakit Covid-19).

“Buat masa ini, ATM bekerjasama dengan KKM bagi menentukan keupayaan hospital medan itu dapat membantu dan menampung keperluan semasa. Ini proses yang berterusan,” katanya selepas merasmikan monumen dan peletakan plak Old Putera (OP) 78 di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Ackbal Abdul Samad

Mengulas mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri, Affendi berkata ATM sedia menambah jumlah anggota dan aset untuk dikerah bagi membantu operasi banjir sekiranya keadaannya bertambah teruk.

“Berdasarkan keadaan semasa, jumlah anggota dan aset-aset mencukupi iaitu kira-kira 4,900 anggota dan juga 1,015 pelbagai aset ATM telah dikerahkan di seluruh negeri yang terjejas banjir teruk,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini mengenai ancaman siber selepas berlaku serangan siber terhadap rangkaian data milik ATM sebelum ini, Affendi memberi jaminan ketika ini sistem pertahanan negara selamat dan pihaknya sentiasa menambah baik keupayaan sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.