
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga yakin tidak berlaku pertembungan kerusi antara Umno dan PPBM di negeri itu dalam pilihan raya umum ke-15.
“PAS akan pertahan semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi dalam pilihan raya lalu di Kedah, malah di seluruh negara.
“Sama juga Umno dan PPBM, bagi kawasan mereka menang di Kedah, mereka akan kekal bertanding.
“Semua parti (PAS, Umno dan PPBM) bersetuju dengan formula itu (kekal bertanding di kerusi yang sudah dimenangi).
“Kerusi PH (Pakatan Harapan) menang baru kita runding,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.
Beliau yang juga pengerusi PN Kedah berkata, kerjasama antara PAS, Umno dan PPBM di Kedah kekal kukuh.
Mei lepas PN Kedah berjaya membentuk kerajaan negeri baharu bagi menggantikan kerajaan PH pimpinan Mukhriz Mahathir selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk daripada PPBM.
ADUN berkenaan melibatkan 15 daripada PAS, PPBM (empat), Umno (dua) dan Bebas (dua) yang juga merupakan bekas ADUN PKR di negeri itu.
Kedah mempunyai 36 kerusi DUN.