PRU15: Umno boleh terbuka runding dengan PN asal tak minta kerusi dimenangi kita, kata Nazri

PRU15: Umno boleh terbuka runding dengan PN asal tak minta kerusi dimenangi kita, kata Nazri

Umno tidak boleh dengan mudah memberi laluan kepada bekas wakil rakyatnya yang bertanding di kerusi yang lari menyertai PPBM.

Nazri Aziz anggap Umno tiada masalah berunding kerusi hadapi PRU-15.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Padang Renggas, Nazri Aziz berpandangan Umno tiada masalah berunding kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya, Umno boleh bersetuju asalkan kerusi milik parti itu tidak diganggu termasuk yang ‘dibawa lari’ bekas wakil rakyatnya yang menyertai PPBM.

“(Kalau) mereka curi 16 kerusi Parlimen (wakil rakyat Umno lompat) takkan kita nak bagi percuma, kalau perundingan dengan PN dia suruh kita lepas kerusi (yang Umno menang PRU lepas) maaf, tidak boleh. Jangan marah Umno, jangan kata kita tak mahu berunding.

“Nak berunding apa kalau dia tandingkan kerusi yang dia curi dari kita? Mana boleh,” katanya ketika majlis sembang santai hari ini.

Nazri Aziz.

Nazri berkata, jika Umno begitu mudah bersetuju menyerahkan kerusi dimenangi parti itu dalam pilihan raya lalu kepada PPBM melalui PN, itu akan memberi gambaran bahawa mereka menyokong perbuatan pengkhianatan lompat parti.

“Kalau hari ini dalam PN kita tengok sebenarnya yang dapat untung adalah mereka (yang) pengkhianat. Mereka khianat parti, dapat jawatan. Datang PRU kita kena bagi kerusi kita kepada dia (pula), kita tidak mahu pengkhianat semua dapat untung,”katanya.

Nazri berkata, akar umbi Umno telah membuat ketetapan mereka tidak mahu bekerjasama dengan PPBM dan mahu memperkukuh hubungan dengan PAS.

Katanya, jika PAS lebih memilih untuk bersama PPBM, Umno perlu bersedia untuk bertanding secara bersendirian menerusi BN.

“Kalau Umno terpaksa bersendirian tidak ada masalah. Kita bukan tak pernah bersendirian, setiap masa sendiri, banyak kali kita menang, sekali sahaja kalah.

“Umno parti lama dan kuat, kalau kita terpaksa kena sendiri, kita kena teruskan.

“Kalau kita bertanding berseorangan kita bertandinglah, nak buat macam mana itulah politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.