PAS tak bincang kemelut Umno-PPBM, kata Khairuddin

PAS tak bincang kemelut Umno-PPBM, kata Khairuddin

PAS kekal dengan pendirian sebelum ini untuk memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kemelut politik membabitkan Umno dan PPBM merupakan urusan dalaman dua parti itu.
KUALA LUMPUR:
Isu persengketaan Umno dan PPBM tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, ia hanyalah mesyuarat bulanan biasa parti Islam itu.

“Kita tidak bincang (isu Umno-PPBM),” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat parti itu di ibu negara.

Ketika ditanya pendirian PAS berhubung “kata dua” sama ada parti itu memilih kerjasama dengan Umno atau PPBM dalam pilihan raya akan datang, Khairuddin berkata, pendirian PAS kekal seperti sebelum ini, iaitu memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pendirian kita masih konsisten sejak awal, jadi tidak timbul isu memilih Umno atau PPBM,” katanya.

Khairuddin berkata, PAS menganggap isu membabitkan Umno dan PPBM merupakan urusan dalaman dua parti itu.

Terdahulu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Muhammad Faiz Na’aman bekata, PAS perlu membuat ketetapan sama ada masih kekal bersama parti itu atau Umno.

“Meskipun tiada masalah antara PAS dan PPBM, saya berpendapat PAS wajar memilih sama ada mahu bersama kami atau UMNO bagi memudahkan persiapan menghadapi PRU15,” katanya seperti dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.

Ahad lepas, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, 143 dari 191 bahagian Umno atau 74.8% mengusulkan supaya parti itu tidak bekerjasama dengan PPBM pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.