
Setiap tahun, sekurang-kurangnya tiga juta orang membanjiri jalan-jalan di George Town untuk mengambil bahagian dalam perarakan kereta berhias sejauh 7km dari Little India ke Waterfall Road, yang diadakan sejak hampir 150 tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy menggesa semua penganut untuk berada di rumah pada 28 Jan ini.
“Duduk di rumah. Kita semua berada di zon merah. Kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada kluster Covid-19 Thaipusam pula. Kami memohon supaya anda banyakkan berdoa di rumah,” katanya pada sidang media.
Katanya, upacara Thaipusam seperti perarakan kereta kuda perak dan emas, membawa periuk susu, kavadi, pecah kelapa, dan gerai jualan tidak akan berlangsung tahun ini.
Ramasamy berkata, dua kuil utama, Nattukottai Chettiar dan Hilltop Arulmigu Balathandayuthapani telah bersetuju untuk membatalkan semua sambutan.
Katanya, semua aktiviti perayaan selama tiga hari yang sepatutnya berlangsung bermula 27 hingga 29 Jan dilarang. Keputusan ini mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ramasamy berkata upacara pada hari Thaipusam di kuil tertentu hanya akan dihadiri oleh sami dan ahli jawatankuasa yang akan mengikut SOP kementerian.
Polis juga akan bersiap sedia untuk menguatkuasakan undang-undang.
Katanya, kuil akan terus dibuka buat sementara waktu hingga 26 Januari, dan kunjungan tertakluk kepada kawalan ketat.
Sehingga semalam, angka Covid-19 Pulau Pinang mencapai 4,408 kes, dengan 1,327 kes dicatatkan sepanjang 14 hari lalu.
Menurut kementerian, seluruh Pulau Pinang adalah zon merah memandangkan semua daerah mencatatkan lebih daripada 41 kes.