
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata semua permohonan pencarum yang dijangkiti virus itu semasa bertugas akan diproses secepat mungkin.
Tempoh maksimum yang diambil Perkeso adalah selama 45 hari dari tarikh kes diterima, tambah beliau.
“Jika permohonan memenuhi semua syarat Perkeso, kita akan tunaikan secepat mungkin…selesai proses hari ini, esok pun boleh bayar,” kata beliau selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah.
Menurut beliau, kes yang diterima sebagai bencana kerja adalah di mana pencarum disahkan terkena jangkitan Covid-19 di tempat kerja.
Awang berkata bagi kes yang disahkan dijangkiti daripada keluarga, jangkitan sosial dan kontak rapat, permohonan akan ditolak.
Menerusi skim itu, semua pencarum terbabit dibayar sebanyak 90% daripada gaji mereka mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif virus berkenaan.
Sementara itu, kata Awang, Perkeso menerima sebanyak 376 permohonan skim tersebut pada tahun lepas dan daripada jumlah itu, sebanyak 129 kes telah diluluskan.
“Sebanyak 42 kes ditolak manakala 205 lagi masih dalam siasatan. Jumlah bayaran yang sudah dibuat setakat ini adalah lebih RM216,000,” kata beliau.