Kes mahkamah pemimpin Umno: PN pilih kasih, benarkan salah laku, Ahmad Maslan wajar mengadu, kata Najib

Kes mahkamah pemimpin Umno: PN pilih kasih, benarkan salah laku, Ahmad Maslan wajar mengadu, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata pemimpin Umno yang lompat menyertai PPBM dikecualikan tindakan mahkamah.

Najib Razak berkata, Ahmad Maslan tidak merujuk kes mahkamah membabitkan dirinya atau pemimpin Umno lain.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak tampil mempertahankan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berhubung kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin parti itu yang dikaitkan dengan perang Umno-PPBM.

Beliau berkata Ahmad tentunya tidak boleh “diam” tanpa mempersoalkan keengganan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membetulkan salah guna kuasa Pakatan Harapan, malah sendiri bersikap pilih kasih berhubung kes-kes mahkamah itu.

Najib berkata paling ketara adalah tidak ada tindakan dikenakan terhadap pemimpin Umno yang menerima dana daripada beliau selepas mereka keluar Umno dan menyertai PPBM.

Antara mereka adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed.

“Mas Ermieyati dan Mustapa menerima dana politik dari saya, tetapi mereka tidak diambil tindakan setelah lompat keluar Umno dan dilantik menjadi menteri penuh pula (oleh PN).

“Ahmad Maslan dan Shahrir Samad juga menerima dana politik dari saya. Mereka pula diambil tindakan mahkamah sebab kekal dengan Umno dan menjadi orang kena tuduh dalam mahkamah pula.

“Adakah ini adil? Patutkah Ahmad membisu saja dan tidak mengadu,” kata Najib di facebook.

Najib berkata Ahmad tidak membangkitkan kes beliau (Najib) atau pemimpin lain tetapi merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun kerana menerima wang daripada beliau sebelum PRU14.

“Kena tanya kenapa 80 pihak dikenakan notis sitaan dan 41 lagi didakwa dan dikompaun sehingga berpuluh kali ganda jumlah wang yang dibayar saya, sedangkan ianya melibatkan isu sama, iaitu menerima bayaran dari saya,” katanya.

Ahmad sebelum ini dipetik berkata Umno tidak puas hati dengan tindakan kerajaan PN meneruskan kes mahkamah terhadap Umno dan pemimpinnya.

“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu (PH). Ini tak wajar dibuat,” beliau dilaporkan berkata.

Beberapa pemimpin Umno, termasuk Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengkritik Ahmad atas kenyataannya itu yang disifatkan “pemikiran goreng pisang” dan bukan alasan berkualiti untuk Umno mengkaji semula kerjasamanya dengan PPBM.

Majlis Kerja Tertinggi Umno akan mengadakan perhimpunan agung pada 31 Jan ini untuk menentukan sokongannya terhadap PPBM.

Sebarang keputusan Umno menarik balik sokongan kepada PPBM dan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin akan mencetuskan kemungkinan pilihan raya umum diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.