
Peguam Aloysius Cornelius Susek, yang mewakili Bushra Abd Razak, berkata penghakiman persetujuan direkodkan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azian Othman.
“Ganti rugi itu dibayar, tetapi tanpa pengakuan liabiliti bagi pihak defendan,” katanya kepada FMT.
Aloysius berkata, mahkamah juga tidak memutuskan kos dan faedah ke atas pampasan itu.
Bushra menamakan kerajaan, Hospital Ampang, dan dua doktor sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya Julai lalu, wanita berusia 29 tahun itu berkata, beliau dimasukkan ke hospital pada 8 Jan 2020 kerana sakit kontraksi dan pergerakan janin berkurangan ketika melahirkan anak keduanya.
Katanya, selepas lapan jam, doktor memutuskan beliau perlu bersalin melalui pembedahan caesarean pada 9 Jan.
Bushra dibenarkan keluar hospital dua hari kemudian, tetapi perutnya mulai mengalami sakit teruk dua hari selepas itu.
Ia menjadi lebih ketara di bahagian kiri abdomen, khasnya ketika bergerak atau menukar posisi badan, yang menyebabkan beliau kerap muntah.
Wanita itu diberitahu doktor pada 21 Jan 2020 yang kesakitan dialaminya perkara biasa selepas pembedahan caesarean.
Disebabkan kesakitan itu berterusan, beliau ke sebuah hospital swasta dan x-ray menunjukkan sepasang alat penyepit pembedahan tertinggal dalam perutnya.
Bushra berkata, beliau terpaksa menjalani satu lagi pembedahan kecemasan di hospital kerajaan itu bagi mengeluarkan forsep itu, ketika dalam proses sembuh daripada pembedahan pertama.
Beliau menuntut ganti rugi kira-kira RM105,000 atas kesakitan fizikal dan trauma mental.