Mandat biodiesel B20 ditangguh 6 bulan hingga awal 2022

Mandat biodiesel B20 ditangguh 6 bulan hingga awal 2022

Ini kerana, kerajaan memberi keutamaan untuk rancangan pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 yang lebih penting.

Mandat untuk menghasilkan biofuel dengan komponen minyak sawit 20% dikenali sebagai B20 untuk sektor pengangkutan, pertama kali dilancarkan pada Januari 2020. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mandat biodiesel B20 Malaysia akan ditangguhkan selama enam bulan hingga awal 2022, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ravi Muthayah.

“Di seluruh negara, kami memberi keutamaan untuk rancangan pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 kerajaan kerana ia lebih penting. Kami mempunyai sumber daya yang terhad dan perlu mengenal pasti perkara yang harus diberi keutamaan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Naib Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia (Gapki), Togar Sitanggang ketika bercakap dalam Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit (POTS 2021) secara maya mengesahkan rancangan Indonesia melancarkan mandat B40 mungkin ditangguhkan sehingga 2022.

Sementara itu, Pengerusi LMC International, James Fry berkata, Malaysia kerap menangguhkan pelaksanaan itu setiap tahun.

Mengulas mengenainya, Ravi berkata, tidak betul mendakwa Malaysia menangguhkan pelaksanaan program biodiesel itu.

“Kami telah melaksanakan biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan dan B7 untuk industri sejak 2019. Tidak tepat untuk mengatakan Malaysia menunda pelaksanaan program biodiesel.

“Kami juga telah melaksanakan program B20 di Langkawi dan Labuan, dan seterusnya kami akan melaksanakannya di Sarawak dan Sabah, selepas kami menaik taraf depot.”

Mandat untuk menghasilkan biofuel dengan komponen minyak sawit 20% dikenali sebagai B20 untuk sektor pengangkutan, pertama kali dilancarkan pada Januari 2020, dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada pertengahan Jun ini.

Sementara itu, Togar berkata, Indonesia masih mengadakan perbincangan dan ujian makmal sebelum mengujinya di jalan raya terlebih dahulu.

“Saya menjangkakan ujian makmal B40 akan dilakukan sekitar separuh pertama 2021.

“Komposisi B40 akan menjadi 40% ester metil asid lemak (FAME) atau 30% FAME dicampurkan 10% Minyak Sayuran Rawatan Hidro (HVO) atau gabungan FAME-HVO, bergantung kepada ketersediaan HVO daripada Pertamina (syarikat tenaga milik kerajaan Indonesia),” katanya pada hari ketiga POTS Digital 2021.

Bellau berkata, ada yang mendakwa 40% FAME sudah mencukupi, tetapi industri automotif Indonesia dan kerajaan percaya 30% adalah campuran maksimum.

“Saya berpendapat pelaksanaan B40 tidak akan berlaku dengan begitu cepat walaupun pada 2022. Ia akan bergantung kepada keadaan ekonomi dan pandemik pada 2021.

“Pandemik itu telah menimbulkan masalah dari segi logistik, mesin dan mereka yang membinanya kerana mereka tidak dibenarkan memasuki negara yang mengakibatkan proses pengoperasian dihentikan.”

Terdahulu dalam pembentangannya di seminar itu, Pengarah Eksekutif Oil World, Thomas Mielke berkata, pengeluaran/penggunaan biodiesel masih tinggi di Indonesia, Amerika Syarikat, Brazil dan Kesatuan Eropah pada Oktober hingga Disember lalu.

“Pengeluar dan pengguna minyak sawit Indonesia di negara pengimport membiayai sebahagian program biodiesel Indonesia. Tetapi, adakah mandat akan dikurangkan pada 2021? ” soalnya merujuk harga dagangan minyak sawit mentah lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.