JPPM juga tolak pendaftaran Muda

JPPM juga tolak pendaftaran Muda

JPPM memaklumkan pendaftaran parti yang cuba diasaskan bekas menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ditolak.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) turut menolak pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), yang cuba diasaskan bekas menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menurut perkongsian seorang aktivisnya dengan media.

Aktivis itu, Mutalib Uthman, berkongsi tangkap layar emel daripada “Pentadbir eROSES” dengannya, memaklumkan keputusan menolak permohonan daftar pertubuhan.

Emel itu bagaimanapun tidak memberikan sebab-sebab penolakan.

Muda dalam kenyataan kecewa dengan penolakan JPPM, mengatakan pihaknya sudah memberikan kerjasama dan mematuhi segala syarat untuk pendaftaran.

“Tiada sebab kukuh untuk JPPM menolak pendaftaran Muda. Kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam preoses demokratik negara adalah hak asas setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan tetapi hak ini dinafikan kerajaan,” katanya.

Muda mendakwa ia usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang parti berkenaan serta penyokongnya daripada mengambil bahagian pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita menuntut kerajaan ini bertanding dalam pilihan raya akan datang dengan adil, tulus dan bersih, tidak menggunakan taktik licik dan kotor,” katanya.

Bagi terus bergerak ke hadapan, Muda akan mempertimbangkan segala pilihan yang ada, termasuk tindakan mahkamah.

Muda mempunyai 13 pengasas bersama termasuk Syed Saddiq. Ahli Parlimen Muar itu sebelum ini dilaporkan mendaftarkan parti baharunya itu dengan JPPM pada 17 Sept lalu.

Pada Disember lalu, penaja Muda bersama 100 penyokong hadir ke ibu pejabat JPPM untuk menyerahkan surat tuntutan itu, sambil menambah kelewatan berhubung pendaftaran tidak boleh diterima.

Barisan penaja Muda turut bertindak melantik bekas peguam negara Tommy Thomas dan bekas presiden badan peguam Ambiga Sreenevasan untuk mewakili mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.