DAP lancar kempen tandatangan gesa kembalikan projek pengangkutan P Pinang

DAP lancar kempen tandatangan gesa kembalikan projek pengangkutan P Pinang

Pemimpin DAP mendakwa kekurangan geran persekutuan menunjukkan dendam politik Putrajaya terhadap rakyat negeri itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika pelancaran kempen tandatangan di George Town hari ini.
GEORGE TOWN:
DAP Pulau Pinang menggesa penduduk pulau itu bersatu membantah pembatalan projek pengangkutan utama di negeri berkenaan oleh kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN), yang dianggap berunsur dendam politik.

Turut dilancar, kempen tandatangan bagi mendesak kerajaan PN membiayai projek pengangkutan utama seperti LRT, kereta kabel Bukit Bendera dan feri dua hujung.

Putrajaya turut digesa mengembalikan dana yang diluluskan bawah kerajaan terdahulu.

Mengumumkan kempen itu, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata, negeri itu menyumbang hasil RM7 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan setiap tahun, namun peruntukan diterima terlalu sedikit.

“Walaupun mempunyai sumber dan kuasa terhad, kerajaan Pulau Pinang berazam meneruskan projek ini demi kepentingan rakyat.

“Kempen tandatangan ini bertujuan menyatukan penduduk Pulau Pinang terhadap pengkhianatan kerajaan PN terhadap negeri ini, selain segera mengembalikan empat projek itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pada majlis sama, Ketua DAP negeri Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang beruntung peruntukan RM100 juta apabila Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, untuk projek kereta kabel Bukit Bendera.

Katanya, pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang diluluskan kini ditangguh perkhidmatan feri menggunakan kapal lama ikonik dihentikan.

Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, pinjaman untuk projek LRT yang sebelum ini dijamin oleh Putrajaya sudah dibatalkan.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang akan membuka tender untuk membina projek kereta kabel Bukit Bendera, minggu depan.

Sementara itu, Guan Eng berkata jelas bahawa pembatalan projek prasarana berkenaan adalah dendam politik kerana membabitkan Kementerian Pengangkutan bawah presiden MCA Wee Ka Siong.

Katanya, ketika beliau menjadi menteri kewangan, Pulau Pinang menerima lebih banyak peruntukkan daripada kerajaan persekutuan.

“Wee menggunakan (kementeriannya) sebagai senjata utama terhadap penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.