Didakwa sertai MCA, ADUN DAP diberi surat tunjuk sebab

Didakwa sertai MCA, ADUN DAP diberi surat tunjuk sebab

Keahlian ahli parti boleh terhenti sekiranya menyertai parti politik lain, kata Jawatankuasa Disiplin DAP.

Jawatankuasa Disiplin DAP akan menunggu maklum balas daripada Leong Cheok Keng berhubung surat tunjuk sebab itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Disiplin DAP mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng susulan laporan media yang mendakwa beliau menyertai MCA.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Chong Chieng Jen dalam kenyataan berkata, perlembagaan parti jelas menyatakan keahlian seseorang ahli terhenti sekiranya dia menyertai parti politik lain. Malah, sebarang tindakan memohon keahlian parti lain akan dianggap tindakan khianat kepada parti.

“Perlembagaan DAP turut memberi kuasa kepada Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang kelakuannya memudaratkan kepentingan parti. Jawatankuasa akan menunggu maklum balas daripada Leong dan akan bertindak sewajarnya,” kata Chong.

Terdahulu, akhbar harian berbahasa Cina melaporkan Leong dan beberapa ADUN dan Ahli Parlimen DAP menyisihkan parti tersebut. Apabila dihubungi The Star semalam, Leong enggan memberikan sebarang maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.