
Komander AKSEM Perlis Rodzi Abu Hasan berkata, hasil risikan selama tiga minggu, sekumpulan anggota penguat kuasa menahan sebuah lori tiga tan di Jalan Kaki Bukit, Padang Besar pada 10.15 pagi tadi.
“Kita merampas 96 kotak berisi cecair vape bernikotin dan menahan seorang pemandu warga tempatan berusia 35 tahun,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket itu ialah membawa cecair berkenaan dari Kuala Lumpur ke negeri ini dan mengisytiharkannya sebagai minyak wangi.
Katanya, sindiket menjadikan negeri ini sebagai tempat transit sebelum ia diseludup ke negara jiran.
“Hasil risikan mendapati bahawa sindiket melakukan penyeludupan dengan kekerapan dua kali seminggu dan beroperasi selama lima bulan,” katanya.
Katanya, cecair vape bernikotin pelbagai perisa buah-buahan itu dijual pada harga RM20 ke atas.
“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi kumpulan sindiket yang masih aktif dan AKSEM akan terus melakukan siasatan dan tangkapan,” katanya.
Rodzi berkata, hasil rampasan dan pemandu lori diserahkan kepada Pusat Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.