UMNO tak tanding kerusi PAS di Kelantan, hanya mahu lawan PPBM, kata Ahmad Jazlan

UMNO tak tanding kerusi PAS di Kelantan, hanya mahu lawan PPBM, kata Ahmad Jazlan

UMNO Kelantan juga meminta kerjasama PAS dikaji selepas usul akar umbi di negeri itu menolak kerjasama dengan PPBM memandangkan parti Islam itu sekutu PPBM dalam PN.

UMNO Kelantan turut meminta kerjasama UMNO-PAS dikaji memandangkan parti Islam itu sekutu PPBM dalam gabungan Perikatan Nasional.
KUALA LUMPUR:
UMNO Kelantan tidak akan meletakkan calon di kerusi ditandingi PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya akan menentang PPBM, kata ketuanya Ahmad Jazlan Yaakub.

Bagaimanapun, pendirian itu tertakluk kepada persetujuan PAS tidak meletakkan calon di kerusi ditandingi UMNO, katanya.

“Kita boleh terus bersama PAS, tapi UMNO tolak PPBM, maknanya kalau kerusi ditandingi UMNO tak payah PAS bertanding,” kata beliau.

“Kita lawan PPBM. Apa salahnya berlawan sudah berpuluh tahun UMNO Kelantan berlawan, tidak ada masalah,” katanya kepada media semasa menghadiri perjumpaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersama ketua bahagian di PWTC.

Jazlan berkata demikian ketika ditanya status hubungan UMNO dengan PAS di Kelantan susulan majoriti bahagian di Kelantan membuat usul menolak PPBM.

Jazlan berkata, UMNO Kelantan juga meminta kerjasama UMNO-PAS dikaji memandangkan parti Islam itu sekutu PPBM dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Kita minta kaji semula, bukan memutuskan (hubungan UMNO-PAS). Kalau kita sudah putus dengan PPBM, kalau PAS masih nak PPBM juga maka dengan sendirinya secara tidak lansungnya menolak kita atau sebaliknya.

“Mungkin kita boleh bincang banyak perkara di Kelantan (terus kerjasama dengan PAS tapi tolak PPBM),” katanya.

Sebelum ini, 12 dari 14 UMNO bahagian di Kelantan meluluskan usul menolak kerjasama dengan PPBM dalam PRU15.

Pada PRU lalu, PAS memenangi 37 kerusi DUN dan sembilan kerusi Parlimen sementara UMNO memenangi lapan DUN dan lima Parlimen.

Dua daripada lima Ahli Parlimen UMNO kemudian menyertai PPBM susulan PRU itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.