
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Halimah Mohamed Saddique berkata, perkara itu ditegaskan Muhyiddin kepadanya ketika melawat dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kolej Vokasional Kota Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Kota Tinggi hari ini.
Halimah berkata, masalah saliran tersumbat dan fenomena air pasang bertembung hujan lebat perlu diberi keutamaan.
“Setiap kali banjir di Johor, Kota Tinggi akan jadi daerah paling teruk dan di bandar ini bila banjir besar, masyarakat akan cakap bukan sebab hujan, sebaliknya berpunca daripada air pasang dan bertembung dengan hujan.
“Lima belas tahun dahulu, Kota Tinggi pernah berdepan banjir teruk dan sepatutnya langkah diambil sebelum banjir berlaku, bukan selepas berlaku baru kita termenung dan mula memikirkan soal baik pulih dan sebagainya,” katanya di PPS SK Laksamana.
Muhyiddin tiba di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi 12 tengah hari tadi, sebelum meluangkan setengah jam mendengar taklimat banjir dan melawat serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS itu.
Ahli Parlimen Pagoh itu kemudian meneruskan lawatannya ke PPS SK Laksamana dan meluangkan kira-kira 15 minit sebelum beredar pada 12.45 tengah hari untuk meninjau situasi banjir di Pahang.
Sehingga 12 tengah hari tadi, 156 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di PPS SK Laksamana, manakala 126 mangsa dari 28 keluarga pula di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi.
Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan sedikit kepada 5,485 orang setakat 8 pagi tadi berbanding 5,524 orang yang direkodkan 8 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,707 mangsa, diikuti Kluang (1,950) dan Mersing (506).