
Ia susulan dua nahas membabitkan tiga helikopter kelab itu pada 8 Nov lalu di Taman Melawati dan 1 Jan lalu di Pulau Indah, Klang.
My Heli Club masih dibenar melakukan penerbangan persendirian, walaupun berdepan penggantungan sementara di bawah Peraturan 67, Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. Penerbangan latihan sebaliknya dilarang buat masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo berkata, pihaknya sedang menyiasat aspek pengawal seliaan mengenai nahas melibatkan helikopter dikendalikan My Heli Club.
“Notis penggantungan telah dikeluarkan serta-merta.
“Penggantungan ini selaras peraturan penerbangan awam Malaysia demi memastikan keselamatan semua anggota kelab dan pihak awam,” katanya dalam kenyataan.
Dalam nahas 8 Nov lalu, dua maut dan dua lagi cedera, selepas dua helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan bertembung di udara sebelum terhempas di Taman Melawati.
Juruterbang dalam salah sebuah helikopter itu, bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohamed Sabri Baharom, 56, dan penumpangnya yang juga ahli perniagaan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, maut manakala bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Ahmad Jauhari Yahya, 66, bersama penumpangnya, Tan Chai Eian, 51, cedera ringan.
Jumaat lalu, sebuah helikopter persendirian jenis R66 Turbine terpaksa melakukan pendaratan cemas di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) Pulau Indah.
Juruterbang itu dikenal pasti sebagai Shamsul Kamal Ahmad yang cedera di tangan kanan, manakala pembantunya, Anas Ahmad Zubaidi mengalami kecederaan ringan.