
Zahid berkata demikian dalam perjumpaan bersama ketua UMNO bahagian dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut sumber enggan dikenali, yang juga ketua bahagian dari Selangor, memaklumkan, Zahid berkata UMNO tiada pilihan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal memahami hati nurani rakyat mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.
“Ye, betul ada diputuskan dalam mesyuarat tadi,” katanya, yang turut menghadiri mesyuarat itu.
Sumber itu berkata demikian susulan laporan Suara TV memetik Zahid yang meminta Ahli Parlimen UMNO meninggalkan kerajaan PN sebelum Februari ini.
Menurut laporan itu, Zahid turut membangkitkan isu penjualan aset Tabung Haji oleh kerajaan Pakatan Harapan secara tidak betul dan gagal dinilai semula kerajaan semasa.
Zahid turut dilaporkan mempertikai kegagalan kerajaan PN melakukan pembetulan dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada Disember 2018 dan meneruskan pendakwaan terpilih oleh PH.
Katanya, kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap menteri didakwa melakukan seks luar tabii juga antara punca UMNO menarik balik sokongan terhadap PN.
Bagaimanapun, media UMNO menerusi WhatsApp kumpulan menafikan laporan itu yang disifatkan mereka sebagai fitnah.