11 kluster baru di 6 negeri, KL

11 kluster baru di 6 negeri, KL

Kluster itu dikesan di Selangor, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak dan Terengganu.

Enam kluster baru COVID-19 dikesan hari ini.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan mengenal pasti 11 kluster baru COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan di Selangor, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak dan Terengganu.

Memperincikan kluster berkenaan, Hisham berkata, Kluster Jalan Playar melibatkan daerah Petaling di Selangor.

“Kes indeks bagi kluster ini dilapor positif pada 11 Dis melalui saringan bersasar di sebuah kilang dan setakat hari ini, 68 kes dikesan positif hasil saringan terhadap 180 individu,” katanya dalam kenyataan.

Kluster berikutnya, Kluster Sri Suria melibatkan tempat kerja juga dikesan di daerah Petaling, Selangor.

“Setakat hari ini, seramai 258 individu disaring dengan 16 kes didapati positif.”

Hisham berkata, Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih dan Kluster Bukit Angkat yang turut dikesan di tempat kerja melibatkan daerah Hulu langat.

“Setakat hari ini, 17 kes positif dalam kluster Tapak Bina Bukit Semenyih manakala Kluster Bukit Angkat mengesan 25 kes positif,” katanya.

Sementara itu, Kluster Parit Jamil melibatkan daerah Muar, Johor dengan kes indeks bagi kluster ini dilapor positif pada 29 Dis.

“Setakat hari ini, seramai 612 individu disaring dengan 62 daripadanya disahkan positif.”

Kluster keenam, Kluster Tombovo pula melibatkan daerah Putatan, Sabah dengan18 kes dikesan positif setakat ini.

Kluster ketujuh dan kelapan, Kluster Tapak Bina Jalan Desa dikesan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur manakala Kluster Jalan Raja dikesan di Lembah Pantai, Cheras, Titiwangasa dan Kepong, Kuala Lumpur.

Kluster berikutnya, Kluster Langit Selatan melibatkan daerah Kuantan, Pahang dengan kes indeks bagi kluster ini dilapor positif pada 31 Dis hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga kini, sebanyak 9 kes dikesan positif hasil saringan terhadap 43 individu.”

Kluster Bah Sayap pula melibatkan daerah Miri, Sarawak dengan lima kes dikesan positif setakat ini sementara Kluster Mengkuang membabitkan daerah Marang dan Kuala Nerus, Terengganu pula merekodkan 10 kes positif.

Setakat ini, sebanyak 548 kluster dilaporkan termasuk 11 kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 306 kluster.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.