
Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir berkata ia selaras dengan Perkara 25(1) Akta SPRM, yang menyatakan tentang kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan.
“Ini juga akan memungkinkan siasatan akhirnya dibuat terhadap rakaman suara yang bocor sebelum ini mirip Muhyiddin Yassin (presiden PPBM) berkenaan sogokan jawatan dan lantikan untuk sokongan bagi membentuk kerajaan serta kontroversi tawaran surat sokongan Pemuda PPBM sebagai meraih undi ketika perebutan jawatan parti.
“Sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan siasatan walaupun telah banyak laporan dibuat,” katanya dalam kenyataan.
Akmal berkata, sebarang dakwaan sogokan perlu dilaporkan segera kepada SPRM tanpa perlu menunggu diugut untuk disaman oleh satu pihak lagi seperti yang dinyatakan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan.
“Dakwaan ketua Pemuda UMNO (Asyraf Wadji Dusuki) bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh hanya telah mengesahkan bahawa budaya politik wang kembali mekar dan amat mendukacitakan apabila amalan kotor ini melibatkan parti-parti politik yang berselindung disebalik sentimen agama dan bangsa.”
Minggu lalu, Asyraf menuduh PPBM “mencuri dan membeli ahli UMNO”, mengatakan setiap ahli UMNO yang menyertai PPBM dibayar sehingga RM100 seorang, sementara peruntukan antara RM3,000 hingga RM5,000 akan diberikan untuk setiap cawangan yang ditubuh.
Dalam respons, Wan Saiful mahu Asyraf menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf.
Katanya, beliau akan berbincang dengan parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang.