
Menurut Straits Times, Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung berkata, pihaknya tidak dapat menerima “perubahan asas” daripada perjanjian dua hala yang asalnya dipersetujui.
Bercakap di Parlimen hari ini, beliau berkata penyingkiran syarikat aset (AssetsCo) adalah perkara utama dikhuatiri Singapura dalam perbincangan berhubung perubahan dicadangkan Malaysia terhadap projek menghubungkan Jurong East dan Kuala Lumpur itu.
Projek HSR dibatalkan selepas Malaysia membiarkan perjanjian dua hala itu luput pada 31 Dis 2020, dengan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berhubung beberapa perubahan dicadangkan untuk projek berkenaan.
“Memandangkan kedua-dua negara tiada pengalaman dan kepakaran melaksankaan HSR itu,” katanya, “kami bersetuju mengikut perjanjian dua hala HSR itu untuk melantik pemain industri terbaik dalam bidang ini menerusi tender antarabangsa yang terbuka dan telus untuk memainkan peranan AssetsCo.
“Sebaik dilantik, AssetsCo itu akan membekalkan sistem kereta api, mengendalikan rangkaian, memastikan keutamaan bersesuaian diberikan kepada perkhidmatan HSR merentas sempadan dengan perkhidmatan domestik Malaysia, selain bertanggungjawab kepada Singapura dan Malaysia.”
Menurutnya, Singapura menganggap AssetCo sebagai amat penting untuk projek itu, yang akan meminimumkan kemungkinan berlaku perselisihan dan pertikaian pada masa depan dalam projek dijangka mengambil masa beberapa dekad.
“Susulan itu, Singapura memaklumkan Malaysia bahawa penyingkiran AssetsCo adalah perubahan asas daripada perjanjian dua hala HSR, dan tidak dapat diterima.”
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apa cadangan alternatif diberikan oleh Malaysia.
Tender terbuka untuk AssetCo diadakan pada 2018, beberapa bulan sebelum perjanjian itu kali pertama ditangguhkan.
Ong juga berkata, cadangan Malaysia supaya laluan itu turut dihubungkan dengan KLIA, bererti berkongsi landasan dengan KLIA Express yang sedia ada, membawa kepada “banyak isu teknikal”.
“Namun paling membimbangkan kami adalah penyingkiran AssetsCo,” katanya dipetik akhbar harian itu.
Perjanjian asal ditandatangani pada 2016 selepas perundingan selama tiga tahun, dan pembinaan digantung pada 2018 atas permintaan Malaysia.
Penggantungan itu kemudian dilanjutkan hingga 31 Dis 2020 dengan pihak terbabit jelas bahawa itu yang terakhir diberikan.
Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura, mengikut perjanjian HSR, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia akan menghormati terma perjanjian dan melaksanakan prosedur yang perlu untuk menentukan jumlah pampasan.