Puad sokong penuh pendirian UMNO Pagoh tidak beri laluan kepada Muhyiddin

Puad sokong penuh pendirian UMNO Pagoh tidak beri laluan kepada Muhyiddin

UMNO Pagoh sebulat suara enggan memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Ahli MKT UMNO Puad Zarkashi menyokong penuh pendirian UMNO Pagoh tidak memberi laluan kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum akan datang.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, berdiri teguh di belakang pendirian UMNO Pagoh, yang membuat ketetapan untuk meletakkan calon “dalam apa-apa juga keadaan”, di kerusi Parlimen dan semua kerusi DUN di situ.

“Saya selaku ahli MKT UMNO menyokong kuat pendirian UMNO bahagian Pagoh, yang membuat ketetapan untuk meletakkan calon UMNO bertanding, dalam apa juga keadaan, di kerusi dalam Parlimen Pagoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, UMNO Pagoh sebulat suara enggan memberikan laluan kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua UMNO Pagoh, Ismail Mohamed, berkata mesyuarat perwakilan bahagian itu semalam sepakat menolak keputusan UMNO Johor yang dibuat sebelum ini, supaya Muhyiddin diberikan laluan untuk terus bertanding.

“Kami hormati keputusan UMNO negeri, tetapi kami harap mereka juga hormati pendirian kami,” kata Ismail.

Muhyiddin mewakili Parlimen Pagoh sejak 1978.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.