Perbuatan PPBM ‘curi’ ahli hampir tamatkan riwayat UMNO Sabah, kata ketua pemuda negeri

Perbuatan PPBM ‘curi’ ahli hampir tamatkan riwayat UMNO Sabah, kata ketua pemuda negeri

Terdahulu Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa PPBM cuba ‘mencuri dan membeli’ ahli parti itu.

Pemimpin Umno Sabah ketika itu, termasuk Ahli Parlimen dan ADUN, membuat perisytiharan keluar parti pada Dis 2018. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, mendakwa PPBM hampir berjaya menarik semua ahli UMNO di negeri itu untuk menyertai parti itu sebelum ini.

Ini susulan dakwaan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki bahawa terdapat percubaan oleh PPBM untuk “mencuri dan membeli” ahli parti itu.

Aziz berkata, di Sabah kegiatan “mencuri” itu berlaku semasa hampir semua pemimpin kanan UMNO, termasuk Ahli Parlimen dan ADUN, bertindak keluar parti pada 12 Dis 2018.

Lima Ahli Parlimen, 9 ADUN, dua senator, dan sebilangan besar pemimpin bahagian meninggalkan UMNO Sabah pada masa itu.

Mereka tidak terus menyertai PPBM, tetapi melakukannya secara berperingkat dalam tempoh satu tahun.

Akhirnya, hanya Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin, yang kini merupakan pengerusi Barisan Nasional Sabah, serta bekas ketua menteri Musa Aman merupakan dua wakil rakyat yang kekal bersama UMNO.

Menyifatkan perkembangan itu sebagai fasa pertama, Aziz berkata, kebanyakan pemimpin UMNO bahagian “dipujuk” supaya menyertai PPBM.

“Saya tidak pasti sama ada wujud fasa baharu (sekarang), tetapi yang pasti, semasa fasa pertama, mereka (PPBM) berjaya menarik hampir semua pemimpin dan akar umbi kami,” katanya kepada FMT.

“Perlu diingat bahawa UMNO dan PPBM berkongsi segmen akar umbi dan pengundi yang sama.

“Pada peringkat awal, kelihatan UMNO (Sabah) mahu digantikan sepenuhnya.

“Saya berharap mereka tidak cuba melakukannya sekali lagi. Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja daripada PPBM untuk kembali dengan tangan terbuka,” katanya.

Ketika ditanya sama ada wujud ganjaran untuk mereka yang melompat parti, Aziz berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Semalam, Asyraf menggesa PPBM supaya menghentikan percubaan “mencuri dan membeli” ahli UMNO berikutan dakwaan akar umbi parti itu bahawa mereka ditawarkan antara RM100 hingga RM5,000 setiap individu untuk melompat parti.

Asyraf berkata, sekiranya perbuatan itu diteruskan, ia akan mengesahkan persepsi bahawa matlamat penubuhan PPBM dan gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah untuk “melemahkan dan menggantikan” UMNO.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan, mendesak Asyraf membuktikan dakwaan bahawa ahli UMNO ditawarkan wang supaya meninggalkan parti itu, sekali gus menegaskan bahawa ia merupakan tuduhan liar dan tidak berasas.

Wan Saiful juga menuntut Asyraf memohon maaf dan menarik balik dakwaannya dengan segera, selain memberi amaran parti itu mungkin mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.