
Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 9.30 pagi ini, di daerah Maran, seramai 44 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Jara, manakala 21 mangsa daripada enam keluarga dari daerah Rompin berlindung di PPS Balai Raya Bukit Lepas.
Portal berkenaan turut memaklumkan tiga sungai di Pahang melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Lepar @ Jambatan Gelugor, Sungai Lipis, Raub dan Sungai Lembing, di sini, manakala Sungai Lipis di Lipis melepasi tahap waspada.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi laman Twitternya memaklumkan berlaku limpahan air di KM 198 arah Timur dan Barat di laluan Gambang dan Sri Jaya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Norol Azali Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menyatakan limpahan air menyebabkan jalan berkenaan ditutup pada pukul 8.40 pagi tadi.
Sementara itu, pemegang konsesi LPT1, ANIH Berhad menerusi kenyataannya menasihatkan pengguna lebuh raya dari Pantai Timur yang ingin pulang ke Kuala Lumpur selepas tamat cuti hujung tahun hari ini supaya menangguhkan perjalanan kerana laluan itu dinaiki air setinggi dua meter sepanjang satu kilometer.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang, melibatkan daerah Pekan dan Rompin.
Selain itu, MetMalaysia turut meramalkan cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera.