Tourism Malaysia tawar pakej pelancongan serendah Rp 1 juta kepada warga Indonesia

Tourism Malaysia tawar pakej pelancongan serendah Rp 1 juta kepada warga Indonesia

Program ‘Dream Now! Travel Later’ membolehkan warga Indonesia melancong ke Malaysia dengan membeli pakej lebih awal dan digunakan sepanjang tahun.

Malaysia adalah destinasi pilihan utama warga Indonesia sebelum pandemik COVID-19 dengan lebih 3 juta pelancong berkunjung ke negara ini setiap tahun. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASITA) menawarkan pakej pelancongan serendah Rp1 juta (RM300) untuk warga Indonesia melancong ke Malaysia tahun depan.

Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata, pakej istimewa menerusi program “Dream Now! Travel Later” itu membolehkan warga Indonesia yang mahu melancong ke Malaysia membeli pakej itu lebih awal dan boleh digunakan sepanjang tahun.

“Menerusi program ini, mereka boleh membeli dahulu pakej itu yang boleh digunakan apabila sempadan Malaysia kembali dibuka nanti.

“Mereka juga tidak perlu khuatir mengenai perubahan harga,” katanya pada majlis pelancaran program itu yang dirasmikan Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq di sini, semalam.

Presiden ASITA, N Rusmiati berkata, pakej yang ditawarkan itu (tidak termasuk tiket penerbangan), antaranya ialah Pakej Millenial tiga hari dua malam (berharga Rp1 juta untuk setiap individu) bagi mengunjungi beberapa destinasi menarik di Malaysia dengan penginapan di hotel bertaraf empat bintang.

Pakej KL&Beyond empat hari tiga malam (Rp1.75-Rp2.3 juta) juga melibatkan kunjungan ke beberapa destinasi pelancongan terkemuka dengan penginapan di hotel empat bintang.

Manakala Pakej Tour 2 dan 3 Negara (Rp2.5 juta – Rp3.3 juta) pula untuk kunjungan lima hari empat malam di beberapa destinasi pelancongan menarik di Malaysia, Singapura dan Thailand.

“Malaysia adalah destinasi pilihan utama warga Indonesia, sebelum pandemik COVID-19 dengan lebih 3 juta pelancong berkunjung ke negara ini setiap tahun dan diharapkan program ‘Dream Now! Travel Later’ dapat memulihkan kembali industri pelancongan melibatkan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.