Pemegang taruh industri minyak sawit sangkal dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak

Pemegang taruh industri minyak sawit sangkal dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Ahmad Parveez Ghulam berkata, laporan itu ‘berat sebelah’ dan memberi gambaran buruk terhadap industri itu.

Laporan Associated Press menyebut kanak-kanak melakukan kerja fizikal yang berat, tiada akses kepada pendidikan dan terdedah kepada kimia berbahaya di ladang kelapa sawit.
PETALING JAYA:
Pemegang taruh dalam industri minyak sawit Malaysia menolak laporan bahawa buruh kanak-kanak digunakan secara meluas di ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Ahmad Parveez Ghulam memberitahu FMT bahawa laporan itu “berat sebelah” dan memberi gambaran buruk terhadap industri itu.

Beliau berkata, ia mengetengahkan temu bual dengan “beberapa orang”, sekali gus mempersoal penggunaan kaedah yang disifatkannya sebagai elemen visual yang dibuat-buat.

“Terdapat banyak persoalan mengenai video dan gambar kanak-kanak yang ditampilkan. Kita hanya melihat buah lerai yang AP kata kernel kelapa sawit.

“Tidak ada tandan dan juga timbunan daun segar. Ini menunjukkan ia merupakan gambar dan video yang dirancang.

“Saya juga tidak percaya kanak-kanak perempuan yang ditampilkan, kononnya di Sabah, boleh mengangkat tandan yang dipegangnya dalam keadaan memakai pakaian yang begitu cantik.”

Parveez juga berkata, tidak adil untuk mengelompokkan Malaysia dan Indonesia dalam kategori yang sama.

Katanya, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia yang diwujudkan merangkumi hak pekerja dan menghendaki pengeluar yang diberikan sijil menjalani audit tetap.

“Tiada isu membabitkan penganiayaan kanak-kanak dilaporkan di ladang dan sektor pekebun kecil sawit di negara ini sejak Jan 2015,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya isu berkaitan buruh kanak-kanak timbul, ia akan dilaporkan kepada pihak berkuasa dan “tindakan serius” akan diambil terhadap pemilik ladang terbabit.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang, A Navamukundan, berkata kemungkinan besar kes yang disebut oleh laporan itu tidak melibatkan ladang di Semenanjung.

Beliau berkata, tiada kemungkinan pekerja asing dalam sektor itu dibenarkan membawa tanggungan mereka bersama-sama.

Katanya, di Malaysia Timur sekalipun, di mana kejadian sedemikian mungkin lebih banyak berlaku, ia berkemungkinan menjadi isu hanya di ladang di sepanjang sempadan Indonesia.

“Kita maklum tentang keadaan yang menyaksikan sebahagian keluarga tinggal di sebelah Indonesia dan sebahagian yang lain di Malaysia. Jadi keadaannya sangat tidak boleh dijangka di situ.”

Navamukundan juga berkata, konsep “penggajian keluarga”, terutama di kebun lebih kecil, tidak boleh dikategorikan sebagai buruh kanak-kanak kerana anggota lebih muda yang membantu perniagaan keluarga bukanlah eksploitasi yang dikaitkan dengan buruh kanak-kanak.

Wakil Majlis Minyak Sawit Malaysia enggan memberi komen berhubung laporan itu.

Memetik kajian pada 2018, AP berkata, terdapat lebih 33,000 kanak-kanak bekerja dalam industri kelapa sawit di Malaysia, dan separuh daripada mereka berumur antara lima hingga 11 tahun.

Ia memperihalkan kitaran kemiskinan yang memerangkap ramai orang muda di ladang, tiada pendidikan untuk keluar daripada persekitaran itu selain kurang pendedahan kepada kehidupan di luar ladang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.