
Sepasukan pegawai PERHILITAN dan polis semalam menyerbu markas Gibbon Rehabilition Project (GRIP) di Pahang untuk mengambil ungka berkenaan.
Enam ungka itu terpisah daripada ibu mereka pada 2013. PERHILITAN mengupah pengasas GRIP, Mariani Ramli, untuk memastikan haiwan terancam itu mengatasi trauma mereka dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sebelum dilepaskan semula ke hutan.
Belum pun sempat memenuhi misi itu, PERHILITAN memecat Mariani pada 2017 dan wanita itu bertindak mengheret jabatan itu ke mahkamah kerana menganggap pemecatannya tidak adil.
Menurut peguam Mariani, Jessica Binwani, Mahkamah Tinggi memerintahkan anak guamnya diambil semula oleh PERHILITAN untuk meneruskan tugas penjagaan enam ungka itu.
PERHILITAN menfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah itu pada bulan lalu, dan menyerbu markas GREP untuk mengambil balik enam anak ungka itu tanpa isu itu diputuskan mahkamah, kata Jessica.
Jessica berkata, anak guamnya amat bimbang dengan keadaan enam ungka itu yang masih bayi apabila diserahkan kepada beliau untuk penjagaan pada 2013.
Beliau berkata Mariani dipecat ketika melatih dan memulihkan anak ungka itu daripada trauma kehilangan ibu dan menyesuaikan mereka dengan persekitaran liar sebelum dilepaskan semula ke hutan.
“Mereka masih bayi apabila diberikan kepada Mariani dan ungka memerlukan masa panjang untuk dipulihkan daripada trauma (kehilangan ibu) dan dilatih berdikari sebelum dilepaskan ke hutan,” kata Jessica.
Peguam itu berkata Mariani sendiri kini ‘trauma’ memikirkan nasib ungka yang dijaganya selama ini susulan serbuan 10 jam PERHILITAN untuk menangkap enam ungka itu di Raub.
“Anak guam saya amat bimbang segala usahanya untuk menyediakan ungka berkenaan kembali ke habitat asal mereka akan sia-sia sahaja susulan tindakan PERHILITAN,” kata Jessica.
Jessica berkata kes itu belum mencapai keputusan muktamad di mahkamah, justeru PERHILITAN melakukan kesalahan dengan merampas ungka berkenaan.
“Pada pandangan kami, status quo harus dikekalkan, iaitu enam ungka berkenaan terus di bawah jagaan Mariani dan GRIP dan tidak diambil keluar daripada pusat rehabilitasi GRIP.
“Kenapa Perhilitan harus tergesa-gesa mengambil ungka daripada tempat sekarang di mana mereka selamat dan dijaga dengan baik sementara menunggu keputusan muktamad mahkamah,” kata Jessica.
FMT menghubungi Ketua Pengarah Perhilitan Kadir Abu Hashim mengenai serbuan ke atas GRIP dan reaksi beliau cuma: “Ambil maklum, terima kasih.”