
IPOH: Pejabat Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Perak terpaksa ditutup dua hari bermula hari ini untuk disanitasi sepenuhnya selepas seorang kakitangan disahkan positif COVID-19.
HRDF memaklumkan pekerja berkenaan sedang menerima rawatan dan berada bawah pemantauan ketat pegawai perubatan.
“Semua pekerja pejabat cawangan itu menjalani ujian swab sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga dan keadaan kesihatan mereka akan terus dipantau.
“Di HRDF, kesihatan dan kesejahteraan pekerja dan pelanggan adalah keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
HRDF akan terus mematuhi polisi dan proses kawalan jangkitan serta mematuhi sepenuhnya langkah pencegahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.