
Penganalisis berkata, sungguhpun parti pembangkang akan menjalin kerjasama untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS), isu kerusi yang menjadi rebutan PH dan PSB memerlukan penyelesaian.
“PSB memperlihatkan minatnya di beberapa kerusi, yang juga dianggap kerusi dapat dimenangi DAP dan PKR,” kata penganalisis politik, James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania kepada FMT.
“Itu sebabnya mengapa Presiden PSB, Wong Soon Koh berkata pihaknya hanya mengadakan perbincangan secara tidak rasmi mengenai kerjasama dengan DAP mengenai pembahagian kerusi,” kata beliau.
Beliau berkata, perbincangan tidak rasmi itu bermakna isu kerusi bertindih belum dimuktamadkan lagi.
Chin berkata, kerjasama PH dan PSB juga dikekang ketidakpercayaan antara Wong, Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen serta Ketua PKR negeri, Larry Sng.
Katanya, Wong selalu menyerang DAP di Dewan Undangan Negeri, ketika beliau masih berada dalam kerajaan, manakala Sng pula pernah menyertai Barisan Nasional.
“Jadi, mereka semua (pemimpin pembangkang) memerlukan lebih banyak masa untuk membiasakan diri dengan satu sama lain untuk menjalin kerjasama sebagai gabungan pembangkang Sarawak,” katanya.