Dewan Negara bahas usul isu kartel daging haram

Dewan Negara bahas usul isu kartel daging haram

Isu babit kepentingan orang ramai, perlukan pengawasan segera.

KUALA LUMPUR: Dewan Negara membenarkan usul berkenaan isu kartel daging haram untuk dibahaskan kerana membabitkan kepentingan orang ramai selain memerlukan tindakan dan pengawasan segera.

Presiden Dewan Negara, Rais Yatim, berkata usul berkenaan akan dibahaskan mengikut Peraturan 17(1) selepas berpuas hati perkara yang dibangkitkan itu memenuhi tiga syarat, iaitu membabitkan perkara tertentu, melibatkan kepentingan orang ramai, dan perlu disegerakan, lapor Bernama.

“Pertama benar ini perkara tertentu, kedua didapati kepentingan orang ramai memang wujud dan (isu) ini memerlukan tindakan segera dan pengawasan selain pemahaman orang ramai perlu diberi perhatian setimpal.

“Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan dan ditempohkan sehingga jam 1 tengah hari ini atau mengikut kesesuaian majlis pada hari ini untuk menempatkan masa atau ruang bahasannya,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Pihak pencadang dibenarkan membahas tidak melebihi 30 minit dengan tempoh sama untuk pihak kerajaan menjawab.

Terdahulu Senator Asmak Husin mengemukakan usul isu kartel daging haram yang menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara salah dan berniat menipu mengikut Perkara 17 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

“Saya berpendapat usul ini melibatkan kepentingan orang ramai kerana membabitkan sumber protein umat Islam yang juga rakyat majoriti Malaysia. Bagi masyarakat Islam, makanan halal, haram, shubhah boleh mempengaruhi ibadat, pembangunan fizikal dan keseluruhan amalan kehidupan manusia.

“Ia juga melibatkan nama baik kerajaan khususnya JAKIM sebagai pengeluar lambang halal yang selama ini diyakini halal dan sucinya, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga dikagumi masyarakat antarabangsa,” katanya.

Asmak berkata, kes itu juga mencetuskan rasa takut dan marah rakyat apabila tular bahawa beberapa jenama yang biasa digunakan didakwa dikatakan terlibat.

Katanya, siasatan sudah dijalankan hampir sebulan dan rakyat menuntut supaya kerajaan menyenaraikan jenama yang terlibat atau sekurang-kurangnya memberikan laporan awal yang boleh melegakan mereka.

Susulan itu, beliau menuntut jawapan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau pihak yang berkepentingan demi membersihkan nama baik negara dan kepentingan umat Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.