
Dalam prosiding dikemukakan waris Allahyarham Shaik Eusoff Shaik Latiff, mahkamah dimaklumkan keluarga terbabit menentang perkara itu sejak lewat 1960-an. Tanah terbabit terletak di Jalan Air Itam bersebelahan sekolah Chung Ling.
Shaik Eusoff, yang berketurunan Jawi-Peranakan memiliki sejumlah besar tanah di George Town pada awal kurun ke-19 malah dikatakan orang bertanggungjawab memperkenalkan Boria di Pulau Pinang.
Warisnya mendakwa tanah berkenaan bagaimanapun ditukarkan menjadi wakaf secara haram, kerana Allahyarham cuma memutuskan untuk menganugerahkan tanah berkenaan selama 21 tahun sahaja selepas kematian anaknya yang terakhir, menerusi satu wasiat.
Peguam Akberdin Abdul Kader berkata, masalah warisnya bermula pada 1 Jan 1967 apabila Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Pinang dan Sa-berang Prai mengambil alih tanah Air Itam berkenaan.
Waris berkenaan membantah tindakan itu di pejabat tanah Pulau Pinang, namun pentadbir membuat keputusan yang memihak kepada majlis agama berkenaan.
Akberdin berkata beberapa surat tuntutan dihantar kepada majlis berkenaan sejak 1970-an, namun tidak diendahkan.
Mereka kemudian memfailkan tuntutan sivil kerana wasiat Shaik Eusoff termasuk di bawah undang-undang sivil. Bagaimanapun, kes berkenaan dipindahkan ke mahkamah syariah selepas Majlis Agama Islam Pulau Pinang mencabar peranan mahkamah sivil dalam isu membabitkan wakaf.
Menurut Akberdin, beliau membangkitkan perkara itu ketika menyoal balas ketua unit pembangunan dan wakaf hartanah majlis terbabit, Fakhruddin Abd Rahman.
Akberdin berkata, pakar agama dalam keterangan sebelum ini mengatakan tempoh tanah wakaf tidak dibuat sebagai tempoh jangka pendek seperti 21 tahun, sebaliknya mesti diberikan untuk selama-lamanya, mengikut ajaran Shafie.
Katanya, dalam keputusan jawatankuasa fatwa Pulau Pinang pada 17 Ogos 2000 mufti ketika itu, Hassan Ahmad menyatakan wasiat Shaik Eusoff dibuat pada 1892 adalah “terbatal and tidak sah”.
“Jadi mana mungkin tanah wakaf itu sah jika fatwa mengisytiharkan wasiatnya sendiri terbatal dan tidak sah?” soalnya kepada mahkamah.
Saman dikemukakan cucu Shaik Eusoff, bekas senator Abdul Shukor PA Mohd Sultan, Syed Idross Syed Hassan Al Mashoor, and Sheik Mohd Jelani Sheik Emam.
Shaik Eusoff dalam wasiatnya mahukan tanah berkenaan disimpan secara amanah untuk keturunannya dan digunakan sebagai tanah wakaf hanya untuk 21 tahun selepas kematian anaknya yang terakhir.
Anak terakhirnya, seorang perempuan daripada tujuh beradik, meninggal dunia pada 1932. Susulan itu, tanah berkenaan sepatutnya dikembalikan kepada estet keluarga berkenaan pada 1953, menurut wasiat 10 muka surat ditulis dalam bahasa Inggeris itu, bertarikh 30 Dis 1892.
Akberdin dibantu peguam Rafie Mohd Shafie dan Yuslinov Ahmad, manakala Shaikh Mohamed Tawfeek Badjenid, Faizal Arif Tajul Ariffin, serta Ahmed Muzambir Abd Razak mewakili majlis berkenaan.
Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Mohd Yunus Mohamad Zin.